SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan bersetuju memberi manfaat tambahan subsidi petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95 kepada pemandu p-panggilan sepenuh masa serta pengendali bot berdaftar bermula pertengahan bulan ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, had kelayakan subsidi sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap warganegara yang layak diperbaharui mulai 1 Oktober dan akan dikemaskini pada setiap awal bulan.
“Kerajaan memberi kelayakan tambahan kepada pemandu p-panggilan dan penambahbaikan ini akan dilaksanakan sebelum pertengahan Oktober. Pemandu tidak perlu memohon secara individu kerana urusan dibuat bersama syarikat pengendali p-panggilan (EHO),” katanya.
Bagi pengangkutan air, Kerajaan Persekutuan turut mengekalkan kelayakan subsidi kepada pemilik bot berdaftar tanpa memerlukan lesen memandu sah. Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa pelabuhan termasuk Lembaga Sungai-sungai Sarawak serta Dermaga Sabah.
Sehingga jam 6 petang semalam, transaksi pembelian petrol bersubsidi menerusi sistem BUDI95 mencecah nilai kira-kira RM84.2 juta melibatkan lebih 42.3 juta liter RON95. Daripada jumlah itu, sebanyak RM27.8 juta subsidi telah disalurkan.
Sejak pelaksanaan BUDI95 bermula 27 September lalu, lebih tiga juta pengguna sudah memanfaatkan program tersebut dengan jumlah keseluruhan transaksi petrol bersubsidi direkodkan sebanyak RM255.6 juta, bersamaan 128.4 juta liter petrol. Subsidi berjumlah RM67 juta disalurkan bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
Kerajaan MADANI menegaskan komitmen memastikan pelaksanaan BUDI95 terus telus, lancar serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.