ad

MRECA persoal cadangan haram produk vape meski dilulus KKM

1 Okt 2025, 5:56 AM
MRECA persoal cadangan haram produk vape meski dilulus KKM

SHAH ALAM, 1 OKT: Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) mempersoal cadangan pengharaman produk vape yang diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM), menegaskan langkah itu menghukum industri yang patuh undang-undang.

Presidennya berkata industri vape mematuhi syarat kawal selia ketat KKM seperti ujian keselamatan, pendedahan ramuan, kawalan kualiti serta pelabelan, selain membayar fi pendaftaran produk RM5,000 bagi setiap unit simpanan stok (SKU).

“Syarikat dengan pelbagai variasi produk terpaksa membelanjakan ratusan ribu ringgit hanya untuk memenuhi syarat asas kerajaan,” kata Datuk Adzwan Ab Manas dalam kenyataan.

Menurut beliau, larangan menyeluruh akan menjejaskan pelaburan besar yang dibuat industri bernilai ratusan juta ringgit termasuk menaik taraf fasiliti, ujian makmal dan penggunaan sistem pengesanan.

“Jika larangan dilaksanakan sekarang, pelaburan ini akan lenyap dalam sekelip mata, membawa kepada kerugian kewangan besar, pengurangan pekerjaan dan kejatuhan sektor terkawal,” tegasnya.

Sebaliknya, Adzwan menegaskan masalah utama adalah penjualan produk haram yang tidak mendapat kelulusan KKM serta penyalahgunaan vape oleh sindiket dadah, yang mencemarkan imej industri.

Beliau menyeru agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti polis dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan mempertingkat pemeriksaan, serbuan dan hukuman terhadap penjual tidak sah.

“Mengharamkan produk yang telah diluluskan hanya akan meningkatkan pasaran gelap dan aktiviti penyeludupan.

"Penyelesaian sebenar adalah melalui kerjasama, penguatkuasaan dan keadilan, bukannya pengharaman,” katanya lagi.

Pada 11 September lalu, Menteri Kesihatan memaklumkan kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape sebagai usaha membendung penyalahgunaan produk berkenaan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu dilaksana secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape.