ad

Penjualan vape akan diharamkan sepenuhnya

11 Sep 2025, 12:30 AM
Penjualan vape akan diharamkan sepenuhnya

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape sebagai usaha membendung penyalahgunaan produk berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu dilaksana secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape.

“Sebagai langkah awal, Kementerian Kesihatan sudah mengadakan perbincangan bersama kementerian dan jabatan utama termasuk Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia serta Pejabat Penasihat Undang-undang.

“Hasil penelitian dan cadangan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi mendapatkan persetujuan dasar seterusnya menjadi asas kepada pelaksanaan pengharaman penuh,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Baharuddin Ahmad mengenai kesediaan kerajaan mengharamkan penjualan vape seperti yang sudah dilaksanakan beberapa Kerajaan Negeri.

Dzulkefly turut menyatakan sokongan terhadap langkah enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape melalui pihak berkuasa tempatan masing-masing.

“Ini adalah pendekatan proaktif seiring matlamat kesihatan awam negara,” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.