ad

Tangani jenayah kewangan, SPRM tumpu tingkat kemahiran forensik

1 Okt 2025, 4:06 AM
Tangani jenayah kewangan, SPRM tumpu tingkat kemahiran forensik

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Menginjak usia 58 tahun penubuhannya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memantapkan peranannya sebagai agensi penguat kuasa utama dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

Biarpun berdepan dengan perubahan landskap jenayah kewangan yang semakin kompleks yang menyebabkan negara berdepan kerugian ratusan bilion ringgit akibat rasuah dan ketirisan, SPRM mengambil langkah proaktif memperkasakan pegawainya dengan latihan terkini terutama dalam aspek forensik siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata langkah itu bagi membolehkan kemahiran dan pengetahuan pegawainya sentiasa dipertingkat sekali gus membolehkan mereka mengesan dan membuat penjejakan sebarang transaksi rasuah yang berlaku.

“Latihan ini turut melibatkan kumpulan profesional serta pegawai penguat kuasa agensi lain di negara ini bagi meningkatkan pengetahuan, mengukuhkan tatakelola dan mengalakkan integriti di agensi masing-masing menerusi perkongsian kepakaran.

“Bagi memastikan perkara ini dicapai, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) telah diberi tanggungjawab untuk menyediakan aspek latihan dalaman serta luaran termasuk pertukaran kepakaran dengan agensi dalam serta luar negara,” katanya dalam temu bual khas sempena ulang tahun SPRM ke-58 di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, baru-baru ini.

Antara usahanya ialah menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan The Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA) dan MoU bersama Asia e University sebagai langkah melahirkan pegawai SPRM berpendidikan tinggi melalui program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL.Q).

Sejak 2017 hingga kini, katanya sebanyak 517 pegawai SPRM telah menerima akreditasi daripada dua program berprestij yang dilaksanakan bersama Nottingham Trent University (NTU), iaitu Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7) dan Professional Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Studies (Level 5).

Beliau berkata negara mengalami ketirisan besar akibat rasuah, salah guna kuasa dan penipuan dengan anggaran kerugian RM277 bilion dalam tempoh enam tahun lepas, yang telah menjejaskan kepentingan rakyat.

Antara punca utama ketirisan itu ialah kelemahan dalam sistem perolehan kerajaan, khususnya manipulasi tender yang melibatkan kerjasama pihak berkuasa dengan kontraktor untuk mengaut keuntungan tidak sah.

“Apabila wujud rasuah dalam proses perolehan, kos projek sering dinaikkan secara tidak wajar untuk menampung kos bayaran rasuah sehingga membebankan negara,” katanya.

sprm

Sehubungan itu, Azam berkata SPRM menyokong pelaksanaan Akta Perolehan Kerajaan 2025, khususnya peruntukan mengenai deklarasi pemilikan benefisial bagi mengenal pasti individu sebenar yang mengawal sesebuah syarikat untuk mengelakkan monopoli dan amalan kartel dalam proses tender kerajaan.

Menyentuh aspek penguatkuasaan, beliau berkata sejak 1 Jan hingga 31 Julai lepas sebanyak 728 kertas siasatan (KS) dibuka antaranya melibatkan 109 KS berprofil tinggi dan 619 KS kategori biasa.

Kes membabitkan agensi swasta merekodkan jumlah tertinggi iaitu 280 KS, diikuti pegawai kerajaan persekutuan (198), orang awam (104), kerajaan negeri (95), badan berkanun (38) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan politik (13).

Dari segi pecahan kesalahan pula, tuntutan palsu mencatatkan 251 KS, terima rasuah (239), salah guna jawatan atau kedudukan (89), pengubahan wang haram (54), beri rasuah (47) dan lain-lain (48).

“Dalam tempoh itu juga, sebanyak 906 individu ditangkap, dengan 308 daripada mereka didakwa di mahkamah dengan 135 sabitan telah diperoleh,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 29 Ogos lepas pula sebanyak RM6.81 bilion aset berjaya disita, RM31.71 juta dibekukan dan RM5.73 juta dilucut hak.

“SPRM kini memberi fokus kepada siasatan kes berskala besar, berprofil tinggi dan melibatkan sindiket berbanding sebelum ini yang turut merangkumi kes kecil. Objektifnya adalah untuk memastikan penjenayah rasuah ini dibawa ke muka pengadilan dan wang yang dicuri dapat dikembalikan kepada kerajaan bagi membolehkan ia diguna untuk manfaat rakyat.

“Ingin ditegaskan SPRM tidak pernah menutup sebarang kes, malah ada kes yang dibuka semula selepas menerima maklumat tambahan terbaharu,” katanya.

Selain itu, Azam berkata SPRM kini menumpukan kepada pemulihan aset hasil jenayah rasuah menerusi cadangan kerajaan untuk melaksanakan undang-undang Perjanjian Pendakwaan Tertangguh (DPA).

Beliau berkata Jawatankuasa Tatakelola Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri telah bersetuju supaya rang undang-undang berkaitan DPA dibentangkan pada sesi pertama Parlimen tahun depan.

“Undang-undang ini telah diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura, yang membolehkan sesuatu pendakwaan ditangguhkan dengan syarat pihak bertanggungjawab bersetuju untuk memulangkan aset atau menanggung kerugian yang berlaku.

“Contohnya, sekiranya berlaku pencemaran sungai akibat tindakan sebuah syarikat, melalui DPA syarikat itu akan dipertanggungjawabkan membaik pulih pencemaran dan menanggung kerugian penduduk terjejas dan jika gagal berbuat demikian mereka boleh didakwa di mahkamah,” katanya menambah SPRM sedang membangunkan sistem berasaskan digitalisasi dan kecerdasan buatan yang mampu menapis pemohon tender bagi memastikan proses perolehan lebih telus dan mengurangkan campur tangan manusia.