Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang dijangka mula beroperasi hujung tahun ini bakal menjadi nadi pengangkutan penting bagi penduduk Klang dan Shah Alam. Namun, projek ini bukanlah ‘sotong kurita’ yang boleh menjangkau setiap komuniti. Kejayaannya bergantung kepada sejauh mana sistem penghubung dapat dilaksanakan dengan baik untuk menjadikan LRT3 pilihan utama masyarakat.
Laluan sepanjang 37 kilometer dengan 26 stesen ini akan menghubungkan Klang Barat dengan Bandar Utama, Shah Alam serta Kuala Lumpur. Penduduk dan peniaga berharap ia dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan aliran orang ramai serta melonjakkan nilai hartanah. Tetapi, kelebihan pengangkutan awam mungkin tidak akan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa sistem penghubung yang cekap dan mudah khususnya bagi ‘first-and-last mile connectivity’.
LRT3 melibatkan tiga pihak berkuasa tempatan: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (5 stesen dan 1 stesen cadangan), Majlis Bandaraya Shah Alam (6 stesen dan 3 stesen cadangan) dan Majlis Bandar Diraja Klang (9 stesen dan 1 stesen cadangan).
Di sepanjang laluan, banyak stesen terletak lebih 3 kilometer dari kawasan perumahan. Justeru, cabaran utama ialah memastikan penumpang boleh sampai ke stesen dengan cepat, selesa dan selamat. Tanpa penyelesaian ini, keinginan penduduk untuk menggunakan pengangkutan awam akan terjejas.

Perkhidmatan penghubung stesen LRT3
Kementerian Pengangkutan memberi jaminan bahawa pelbagai pilihan penghubung akan disediakan, termasuk teksi, e-hailing serta perkhidmatan bas mini mengikut permintaan (Rapid KL On-Demand) yang dikendalikan oleh Prasarana.
Namun, pakar berpendapat kerajaan perlu merangka perkhidmatan bas penghubung yang terancang.
Pakar perancangan bandar, Goh Bok Yen mengingatkan sebahagian besar stesen terletak di kawasan pembangunan yang perlahan. Tanpa bas penghubung, keberkesanan sistem pengangkutan awam sukar dicapai.
Kebolehcapaian orang ramai ke stesen LRT3
Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Klang, Dato Jeffery Tan menegaskan sistem penghubung penentu kejayaan LRT3.
“Jika tiada pengangkutan penghubung yang kerap dan menepati masa untuk membawa penumpang ke kawasan perumahan atau komersial, orang ramai tidak akan memilih pengangkutan awam,” katanya.
Beliau menambah, sebahagian stesen mungkin mudah diakses, namun ada juga yang terlalu jauh untuk dicapai dengan berjalan kaki.
“Bagi kebanyakan rakyat, berjalan lebih 10 minit sudah dianggap tidak praktikal.”
Menurut beliau, apabila sistem penghubung disediakan dengan baik, LRT3 bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan, malah menggalakkan pembangunan setempat dan menarik minat pelancong untuk menerokai makanan serta budaya Klang.

LRT3 ‘menarik arus manusia’
Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Klang, Boay Yeng Kuen menyifatkan LRT3 sebagai projek yang boleh meningkatkan keberkesanan mobiliti, tetapi keberhasilan bergantung kepada penghubung yang selamat dan boleh dipercayai.
“Kesibukan jalan raya pada waktu puncak di Klang sangat ketara. Jika LRT3 beroperasi lancar, ia mampu mengurangkan masalah itu. Tetapi dengan cuaca panas dan hujan di negara ini, berjalan beberapa kilometer ke stesen bukanlah pilihan,” katanya.
Beliau menekankan keperluan bas mini dan perkhidmatan ulang-alik komuniti.
“Contohnya, Stesen Bukit Tinggi dekat dengan kawasan perumahan, tetapi jaraknya dari sekolah dan hospital tetap 3 hingga 4 kilometer, mustahil untuk berjalan kaki,” katanya.
Menurutnya, LRT3 juga berperanan sebagai projek ‘menarik arus manusia’ yang mampu menghidupkan semula kawasan lama, merancakkan perbelanjaan, mewujudkan pekerjaan serta merangsang rantaian ekonomi dan hasil cukai.
Tanpa penghubung dan parkir, faedah terhad
Pengerusi Persatuan Penduduk Klang Utama, Tan Poh Hock, menegaskan bahawa ketiadaan sistem penghubung dan kemudahan parkir akan mengehadkan faedah LRT3.
“Di Klang Utama, jarak ke stesen terdekat masih jauh. Jika penduduk perlu memandu 15 hingga 20 minit untuk ke stesen dan kemudian berdepan masalah parkir, minat untuk menggunakan LRT3 pasti berkurang. Bagi warga emas, pelajar dan suri rumah, berjalan kaki juga bukan pilihan,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan menyediakan bas komuniti serta parkir bersepadu di stesen untuk menyokong konsep ‘park and ride’.
“Singapura ialah contoh terbaik. Di sana, setiap stesen MRT disambungkan dengan terminal bas yang lengkap,” katanya.

Peniaga mahu arus pengunjung kembali ke bandar lama
Peniaga restoran di Jalan Meru, Boon Kok Choon,berkata kawasan lama semakin lengang selepas penghijrahan penduduk, menyebabkan kuasa beli merosot.
“Peniaga kecil amat berharap LRT3 akan membawa semula orang ramai dan peluang ekonomi ke bandar lama,” katanya.
Restorannya yang terletak berhampiran Sungai Pinang berdekatan dengan stesen LRT3, dan beliau yakin kemudahan ini mampu menarik lebih ramai pelanggan, sekali gus menghidupkan kembali suasana meriah di kawasan tersebut.
Satu laluan, satu harapan
LRT3 bukan sekadar sebuah projek pengangkutan, tetapi juga sebuah ‘laluan pemulihan’. Bagi penduduk, ia bermakna perjalanan lebih mudah. Bagi peniaga, ia peluang untuk menyambut semula pelanggan. Bagi bandar, ia simbol kemajuan ekonomi dan perkongsian budaya.
Namun, semua harapan ini hanya akan tercapai jika sistem penghubung benar-benar berfungsi. Hanya dengan memastikan perjalanan dari rumah ke stesen bebas halangan, LRT3 mampu merealisasikan impian untuk menerangi semula kawasan lama di sepanjang laluannya.
