Dengan jangkaan pembukaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) pada penghujung tahun ini, beberapa kawasan lama di sepanjang laluan yang sebelum ini terbantut pembangunan dan semakin suram dijangka menerima nafas baharu.
Laluan sepanjang 37 kilometer yang merentasi barat Lembah Klang ini bukan sahaja memendekkan jarak perjalanan, malah dijangka mengembalikan kehadiran orang ramai dan peluang ekonomi, sekali gus menjadi enjin baharu kepada pembangunan ekonomi serta pelancongan tempatan.
LRT3 menghubungkan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang dengan 26 stesen, termasuk sembilan stesen di Klang iaitu Bandar Baru Klang, Pasar Besar, Jalan Meru, Pasar Jawa, Taman Selatan, Sri Andalas, Klang Jaya, Bukit Tinggi dan Johan Setia.
Stesen-stesen ini merangkumi kawasan bersejarah Klang yang masih mengekalkan pasar tradisional, kedai makanan lama dan rumah ibadat pelbagai agama.
Namun, akibat penghijrahan penduduk serta kebangkitan bandar baharu, kemeriahan semakin pudar dan kawasan ini sering dilabel sebagai bandar lama atau kawasan pekerja asing.
Bagi peniaga yang masih setia bertahan di kawasan ini, LRT3 bukan sekadar sebuah laluan, tetapi dianggap sebagai talian hayat yang diharapkan.

Harapan kebangkitan semula kawasan lama
Dato’ Jeffery Tan, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Klang, menegaskan bahawa walaupun Klang terkenal dengan sektor industri, pembuatan dan pengangkutan pelabuhan, kawasan pusat bandar dan jalan lama semakin hambar.
“Dengan peluasan bandar dan kebangkitan kawasan perumahan pinggir bandar, penghijrahan penduduk menyebabkan kawasan lama tidak lagi meriah. Pembukaan LRT3 akan menjadi pemangkin penting kepada pemulihan semula kawasan ini,” jelas beliau dalam wawancara bersama Media Selangor.
Menurut beliau, nilai kawasan lama boleh dikategorikan kepada tiga:
Kawasan bersejarah: stesen kereta api, belakang jalan dan kawasan bawah jambatan yang mempunyai daya tarikan budaya dan kulinari.
Kawasan perumahan lama: sistem pengangkutan penghubung dalam lingkungan 500 meter hingga 1 kilometer mampu menyuntik semula kehidupan komuniti.
Pusat bandar: kehadiran orang ramai dapat mengembalikan daya saing perniagaan, terutama berdepan kawasan baharu seperti Setia Alam dan Bukit Raja.
Beliau yakin bahawa dengan pembukaan LRT3 serta penambahbaikan sistem pengangkutan penghubung, Klang berpotensi menarik lebih ramai pelancong untuk lawatan separuh hari atau sehari penuh.
“Selagi pengangkutan membawa orang ramai, peluang perniagaan dan pekerjaan akan terhasil. Walaupun hanya 2,000 orang melalui kawasan ini setiap hari, sebahagian kecil berbelanja sudah cukup untuk menjana kitaran ekonomi,” katanya.
“LRT3 jelas membawa khabar gembira kepada penduduk dan peniaga Klang kerana sistem pengangkutan moden ini bakal menyatukan kawasan dan menyuntik semula tenaga baharu ke dalam komuniti,” katanya.

Menghidupkan semula kemeriahan bandar lama
Kawasan pusat bandar Klang dan jalan lama seperti Jalan Gopeng, Jalan Taiping dan Jalan Meru paling ketara menzahirkan suasana suram. Dahulu, kawasan ini merupakan pusat perdagangan, namun kini aliran manusia berkurang dengan banyak premis ditinggalkan kosong.
Lee Sek Wun, peniaga kek dan biskut tradisional yang mengusahakan Bee’s Bakery di Lorong Gopeng, mengakui kawasan itu seakan dilupakan.
“Selepas jam enam petang, kawasan ini sunyi sepi. Pada hujung minggu pula, lebih 60 peratus kedai tidak dibuka. Tanpa orang ramai, tiada perniagaan dapat dijalankan,” katanya.
Beliau menjelaskan, akibat penghijrahan penduduk asal, kawasan ini berubah menjadi kawasan pekerja asing dengan banyak kedai terbiar hanya disewa oleh pendatang.
“Itu realiti pasaran, bukan niat asal pemilik kedai. Kami amat berharap kawasan ini dapat kembali meriah. Contohnya, Jalan Taiping dahulu sangat sibuk, tetapi sejak pasar malam dipindahkan, jumlah pengunjung semakin berkurang,” katanya.

Jalan lama yang sunyi mendambakan tenaga baharu
Di Bukit Tinggi 1, peniaga wantan mee, Yap Wah Chai, berkongsi harapan sama. Kawasan yang telah wujud hampir 20 tahun itu kini semakin sepi akibat pembangunan terbantut.
“Tempat ini tidak kalah dari segi keunikan. Banyak makanan tradisional yang lazat masih bertahan,” jelas beliau sambil berharap pembukaan LRT3 akan menarik lebih ramai, khususnya pelancong luar, untuk menikmati hidangan tempatan, sekali gus mengembalikan semula kemeriahan.
Namun, menurut Penny Yeo Seok Hoon, peniaga kedai perkakasan di Jalan Meru, situasi kawasan itu lebih kompleks.
“Penduduk asal telah ramai berpindah ke kawasan baharu, yang tinggal kebanyakannya pekerja asing. Dengan ketiadaan pusat beli-belah besar, kesannya terhadap ekonomi masih belum dapat dipastikan. Tetapi kami tetap berharap LRT3 dapat membawa tenaga baharu dan menghidupkan semula kawasan ini,” katanya.

Mencipta daya tarikan budaya dan pelancongan
Bagi menyokong pembukaan LRT3, Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) memperuntukkan dana untuk projek penaiktarafan infrastruktur termasuk laluan pejalan kaki dan kebersihan bandar bagi menyambut pelawat tempatan dan antarabangsa.
Ahli Majlis MBDK, Lee Sek Wun, menegaskan bahawa Klang merupakan sebuah bandar berbilang budaya.
“Masyarakat Cina terkenal dengan bak kut teh, budaya India terserlah di Jalan India, manakala komuniti Melayu memperlihatkan keunikan mereka di Pasar Jawa,” jelas beliau.
Menurut beliau, kehadiran makanan tradisional, rumah ibadat dan lokasi tular menjadikan Klang destinasi lengkap buat pelancong.
“Sebagai contoh, stesen Pasar Jawa LRT3 adalah yang paling hampir dengan bandar dan akan menjadi tarikan utama kepada pelancong,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa pihak berkuasa tempatan bekerjasama dengan Tourism Selangor dan sektor swasta untuk membangunkan Jalan Budaya sepanjang 200 meter di Lorong Tingkat, yang dijangka mula dibina tahun ini dengan tempoh pembinaan empat bulan. Jalan tersebut akan ditutup pada hujung minggu untuk mewujudkan suasana meriah.
“Fasa kedua pula memberi tumpuan kepada penaiktarafan Pasar Jawa menjadi Dataran Budaya, seakan Central Market di Kuala Lumpur, yang akan menampilkan produk kraf tangan, hasil seni lukisan dan cenderamata tradisional supaya pelancong dapat merasai sendiri kepelbagaian budaya Klang,” jelasnya.