KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mencatat hampir tiga juta pengguna dengan jualan melebihi RM91 juta dalam tempoh empat hari, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata setakat 6 petang tadi, lebih kurang dua juta pengguna telah memanfaatkan pembelian petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 sen yang dibuka sepenuhnya kepada warganegara Malaysia bermula pada hari ini.
“Alhamdulillah, pergerakan yang kita nampak hari ini pun lancar. Tidak ada banyak orang yang merungut.
“Pergerakan kenderaan juga mungkin lebih daripada biasa kerana ramai teruja untuk mendapatkan harga minyak yang lebih rendah,” katanya pada sesi tinjauan pelaksanaan BUDI95 di Stesen Minyak Petronas Sri Hartamas, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi membolehkan pemilik bot menerima inisiatif BUDI95.
“Kita juga ada mendengar daripada mereka yang ada bot dengan enjin sangkut, mereka tak dapat subsidi. Dari segi dasarnya, kita bersetuju untuk mereka mendapat kelayakan dengan tahap kelayakan yang akan ditentukan.
“Jadi, kita sedang berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, data-data daripada pemilik bot ini akan dimasukkan dalam sistem dan mereka juga akan dapat kelayakan,” katanya.
Selain itu, Amir Hamzah menjelaskan kelonggaran turut diberikan kepada mereka yang lesen memandu telah tamat tempoh kurang daripada tiga tahun.
“Kita masih memberikan BUDI95 dan menggalakkan mereka membaharui lesen kerana yang penting lesen mereka sah apabila membawa kereta,” katanya.
BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 27 Sept dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, sebelum diperluas kepada lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kategori B40 pada Ahad.
Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding dengan harga pasaran semasa RM2.05 seliter, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.
Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini memaklumkan harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 Sept hingga 8 Okt ini.
-- BERNAMA