ad

Subsidi RON95: Had kelayakan tambahan pemandu e-hailing dimuktamad minggu ini

30 Sep 2025, 10:02 AM
Subsidi RON95: Had kelayakan tambahan pemandu e-hailing dimuktamad minggu ini

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Kementerian Kewangan (MOF) bersama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan bagi pemandu e-hailing di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada minggu ini.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini berkata kerajaan akan berurusan dengan penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) bagi mengenal pasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan berkenaan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot, terutama di Sabah dan Sarawak layak untuk harga bersubsidi.

“Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan kerajaan negeri berkenaan bagi mengumpul data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati manfaat BUDI95,” katanya.

Tunku Nashrul berkata inisiatif BUDI95 bermula pada Sabtu lepas kepada 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum diperluas kepada lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada Ahad dan 16 juta rakyat Malaysia yang layak, tengah malam tadi.

“Setakat 7 malam 29 Sept, hampir 912,000 penerima STR serta anggota ATM dan PDRM telah melakukan transaksi BUDI95 di stesen minyak seluruh negara. Sebanyak RM43.7 juta pembelian telah direkodkan bagi 21.8 juta liter petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata kerajaan telah menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter untuk Oktober ini, namun penerima BUDI95 dapat menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter.

Beliau berkata hal ini bermakna, kerajaan memberikan manfaat subsidi kepada rakyat Malaysia sebanyak 61 sen seliter.

“Berdasarkan had kelayakan 300 liter, setiap individu menerima manfaat subsidi mencecah RM183 sebulan. Langkah ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mengotakan janji untuk melindungi rakyat dengan memastikan mereka terus menikmati petrol RON95, ditambah dengan penjimatan bagi meringankan beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan MADANI akan memastikan pelaksanaan dasar itu terus segar dan dimantapkan demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat.

-- BERNAMA