ad

Jemputan Trump dibuat atas pertimbangan politik antarabangsa – Saifuddin

30 Sep 2025, 7:30 AM
Jemputan Trump dibuat atas pertimbangan politik antarabangsa – Saifuddin

PUTRAJAYA, 30 SEPT: Keputusan menjemput Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang akan berlangsung bulan depan, dibuat berdasarkan pertimbangan dalam konteks politik antarabangsa, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kehadiran Trump pada sidang kemuncak berkenaan wajar dijadikan medium bagi Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, untuk menyatakan pendirian secara terus kepada pemimpin Amerika Syarikat itu berhubung isu Palestin.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada sidang media selepas hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya pada 23 Jun 2025. Foto BERNAMA

“Di luar, orang mempersoalkan kenapa panggil Trump?... bukankah Trump sokong Israel, bukankah Israel sedang ranapkan bumi Gaza... jadi, kenapa mesti Trump dijemput dan sekarang sedang berlaku perbincangan di luar, macam-macam sudut pandang.

“Malaysia tahun ini Pengerusi ASEAN, kita membawa pendirian konsensus negara ASEAN... kita mungkin ada pendirian kita sendiri (dalam isu Palestin),” katanya ketika berucap di perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa suara konsensus 10 negara anggota ASEAN pada sidang kemuncak kali ini.

“Jadi, kehadiran dia (Trump) dalam konteks politik antarabangsa... Perdana Menteri mewakili Pengerusi ASEAN... dia (Anwar) ketua kepada satu rantau dengan 680 juta penduduk yang ekonominya besar dan teguh, yang relatifnya dianggap sebagai stabil.

“Jadi, dia (Anwar) boleh bercakap sebagai suara ASEAN di hadapan pemimpin dunia yang lain termasuk Amerika Syarikat, China, India, Rusia dan Brazil,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri menempelak pihak yang mempertikai jemputan kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Anwar berkata Malaysia akan menggunakan platform diplomasi itu untuk terus menyuarakan isu Palestin dengan tegas dalam mempertahankan kebenaran namun dengan pendekatan berstrategi.

Selain Trump, beberapa pemimpin dunia termasuk dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu, yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

- BERNAMA