ad

Kes Zara: Polis selesai siasat, serah kertas kepada Peguam Negara minggu depan

2 Ogos 2025, 6:45 AM
Kes Zara: Polis selesai siasat, serah kertas kepada Peguam Negara minggu depan
Kes Zara: Polis selesai siasat, serah kertas kepada Peguam Negara minggu depan

KUANTAN, 2 OGOS: Polis telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kira-kira 60 saksi telah dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Siasatan dah siap, saya ingat paling lewat minggu depan pihak polis akan serahkan (kertas siasatan) kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Kursus Asas Leftenan Muda Maritim Siri 12/2024 dan Pelatih Kursus Asas Laskar Kelas II Maritim Siri 18/2024 di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS).

Zara Qairina dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan dijumpai tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 4 pagi, 16 Julai lepas.

Pelajar berkenaan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun sebelum ini dilaporkan berkata siasatan polis menjurus kepada dua elemen utama iaitu punca kematian dan keadaan persekitaran mangsa.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata pihaknya komited mempersiapkan kelengkapan logistik bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berhadapan ancaman di kawasan perairan antaranya dengan meneruskan projek pembinaan dua lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV).

Selain itu, APMM juga dalam proses membawa pulang kapal Ex-United States Coast Guard Cutter (Ex-USCGC) Steadfast dari Amerika Syarikat yang dijangka tiba November depan.

"Dengan kelengkapan ini, saya percaya boleh menaikan moral pasukan selain meningkatkan keberkesanan fungsi kawalan, rondaan dan pemeriksaan," katanya.

Pada majlis berkenaan sebanyak 68 pegawai dan 186 anggota telah berjaya menamatkan latihan asas selama 10 bulan bagi melayakkan mereka menjadi warga APMM.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.