KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Terminal Bersepadu Gombak (TBG) diharap dapat menyediakan kemudahan perkhidmatan kerajaan selain kemudahan pengangkutan dan kedai komersial, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata ia bagi membolehkan terminal itu berfungsi seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC) dengan menawarkan perkhidmatan pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen, Bahagian Pasport, Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Apabila agensi kerajaan ditempatkan di kawasan terminal, ia akan memudahkan orang ramai…mereka boleh hadir dengan LRT (Transit Aliran Ringan) dan berurusan dalam kawasan yang selesa,” katanya dalam sidang media selepas perasmian TBG di sini hari ini.
Dalam pada itu, Loke berkata lokasi terminal itu yang bersebelahan stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dibina juga menjadikan ia komponen penting dalam integrasi sistem pengangkutan negara.
“Terminal ini mesti diintegrasikan dengan eskalator dan laluan pejalan kaki supaya penumpang dapat bergerak dengan lebih lancar dan selamat,” katanya sambil menambah kerajaan sedang merangka strategi untuk memastikan lebih banyak bas ekspres, khususnya ke Pantai Timur menggunakan terminal itu sepenuhnya.
TBG, yang beroperasi 24 jam sebagai pusat transit untuk perjalanan ke seluruh Semenanjung, Singapura dan Hatyai di Thailand, mampu menampung hingga 1,500 perjalanan bas serta 52,000 pengguna harian.
la mempunyai tujuh tingkat dengan lebih 140 lot sewaan termasuk dewan perkahwinan, pusat sukan dan 1,200 petak parkir kereta.
Sementara itu, mengulas mengenai kemalangan yang meragut nyawa bayi berusia setahun di Plaza Tol Kajang pada Sabtu lepas, Loke berkata laporan awal pihak berkuasa mendapati kanak-kanak itu tidak menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak sewaktu kejadian.
Berikutan itu, beliau berkata bayi berkenaan tercampak keluar dari kenderaan dan maut di tempat kejadian.
“Ini bukan saya nak menyalahkan ibu bapa tetapi sebagai peringatan kepada semua. Apabila kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak, ramai mengeluh ini (langkah) akan meningkatkan kos dan sebagainya.
“Tetapi insiden ini membuktikan betapa pentingnya ada kerusi keselamatan kanak-kanak. Bayangkan kalau ada kerusi berkenaan, bayi tersebut tidak akan tercampak keluar dan kemungkinan masih boleh dapat diselamatkan,” katanya.
Mengenai lori yang terlibat dalam kemalangan itu, Loke berkata berdasarkan semakan, lori terbabit juga didapati mempunyai dua permit sah dan rekod pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang masih berkuat kuasa, namun sistem brek kenderaan tersebut dipercayai gagal berfungsi hingga merempuh plaza tol dan beberapa kenderaan lain.
“Pemeriksaan Puspakom memang diwajibkan setiap enam bulan sekali tetapi penyelenggaraan kenderaan pada waktu lain adalah tanggungjawab syarikat pengangkutan.
“Dalam kes ini, jelas bahawa brek gagal berfungsi. Justeru syarikat pengangkutan perlu mengambil serius soal penyelenggaraan, bukan hanya menunggu tempoh pemeriksaan Puspakom,” katanya.
-- BERNAMA