ad

Malaysia hasrat perkenal skim kecederaan lindungi pekerja di luar waktu pejabat – PM

29 Sep 2025, 6:33 AM
Malaysia hasrat perkenal skim kecederaan lindungi pekerja di luar waktu pejabat – PM

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Malaysia akan memperkenalkan Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan bagi memastikan pekerja terus dilindungi walaupun di luar waktu pejabat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pengenalan skim itu hasil kesedaran bahawa tekanan kerja tidak terhenti hanya di pintu kilang atau pintu pejabat.

“Dalam era susunan kerja yang fleksibel dan jarak jauh, pembaharuan ini akan menyelaraskan perlindungan dengan realiti cara hidup serta cara orang bekerja pada masa kini.”

“Lebih penting, ia akan meluaskan perlindungan sepanjang masa kerana kemalangan dan kecederaan tidak terikat kepada jadual tertentu,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Anwar berkata perlindungan sosial bukanlah sekadar sistem faedah birokrasi, sebaliknya merupakan infrastruktur moral.

"Peradaban awal dahulu sudah memahami perkara ini. Dalam tradisi Islam, baitulmal berfungsi memastikan kekayaan dimanfaatkan untuk membantu golongan miskin, balu, anak yatim dan warga tua. Legasi keadilan dan solidariti itu terus menjadi inspirasi kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, berpandukan prinsip tersebut, Malaysia sedang merangka semula perlindungan sosialnya dengan meluaskan jaminan kepada golongan yang sekian lama berada di luar jaringan, termasuk pekerja tidak formal, suri rumah dan penunggang gig.

Dengan tema "Shaping Social Security For A World In Transition”, forum lima hari yang bermula hari ini menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari lebih 135 negara bagi membincangkan pelan hala tuju global ke arah sistem keselamatan sosial yang inklusif, mampan dan bersedia untuk masa depan.

Forum itu akan mencapai kemuncaknya pada Sidang Kemuncak Keselamatan Sosial Dunia pada Jumaat ini, yang bakal menetapkan hala tuju sedekad akan datang bagi sistem keselamatan sosial dunia yang inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

- BERNAMA