ad

Banjir Bali: PM titip doa, sampaikan takziah kepada keluarga mangsa

12 Sep 2025, 3:41 AM
Banjir Bali: PM titip doa, sampaikan takziah kepada keluarga mangsa

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Indonesia susulan kehilangan nyawa akibat banjir kilat di Bali.

“Saya amat sedih dengan kehilangan nyawa yang tragis akibat banjir kilat di Bali. Doa dan ingatan saya bersama keluarga yang kehilangan insan tersayang, serta semua yang terjejas kediaman dan sumber rezeki mereka,” katanya menerusi satu catatan di Facebook hari ini.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia berdiri teguh bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto, dan rakyat Indonesia menghadapi detik sukar ini.

“Malaysia bersedih bersama-sama anda, dan kami akan terus mendoakan rakyat Bali agar tabah serta pulih daripada bencana ini,” tambah beliau.

Hujan lebat yang melanda pulau peranginan Bali pada Rabu telah menyebabkan banjir di beberapa kawasan, termasuk Jembrana, Gianyar, Badung, Tabanan, Karangasem, Klungkung dan Denpasar.

Menurut kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara Indonesia (BNPB), 14 orang disahkan maut, dua lagi masih hilang, manakala 659 orang lain terjejas akibat bencana itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.