ad

13 juta rakyat Malaysia sudah tebus bantuan SARA bernilai RM1 bilion

28 Sep 2025, 10:49 AM
13 juta rakyat Malaysia sudah tebus bantuan SARA bernilai RM1 bilion

LABUAN, 28 SEPT: Hampir 13 juta rakyat Malaysia yang layak telah menebus bantuan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mereka untuk membeli barangan keperluan, melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1 bilion.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata inisiatif itu sangat membantu kumpulan isi rumah B40 terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Di Sabah, lebih 98 peratus daripada 1.2 juta penerima yang layak telah menggunakan SARA untuk pembelian barangan keperluan manakala di Labuan, 65 peratus daripada hampir 50,000 yang layak telah menebus RM100 mereka.

Amir Hamzah turut menolak dakwaan bahawa penggunaan MyKad untuk menggunakan bantuan itu menyukarkan warga emas atau penduduk luar bandar.

"Ini terbukti dengan kadar penebusan di negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak adalah antara yang tertinggi di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat peruncit yang mengambil bahagian dalam SARA, di sini hari ini.

Beliau berkata skim itu juga telah memberikan manfaat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menikmati jualan lebih kukuh berikutan peningkatan kuasa beli penerima.

"Jumlah kedai runcit yang menyertai SARA telah meningkat daripada 7,300 pada awal tahun kepada lebih 8,100 (pada masa ini) di seluruh negara,” katanya.

Amir Hamzah berkata hampir sembilan juta rakyat Malaysia layak untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) manakala liputan SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima mulai 1 April lepas iaitu hampir lapan kali ganda daripada 700,000 penerima sebelum ini.

Penerima dibenarkan menebus penghargaan SARA untuk pelbagai jenis barangan keperluan termasuk makanan ruji seperti beras, roti dan telur; keperluan memasak (minyak masak, tepung) barangan dalam tin dan mi segera, produk kebersihan diri (sabun, ubat gigi, tuala wanita), produk pembersihan rumah, ubat-ubatan, alat tulis dan pakaian seragam.

"Kategori ini memastikan keluarga bukan sahaja memenuhi keperluan pemakanan harian mereka tetapi juga akses kepada barangan keperluan isi rumah pada harga berpatutan,” kata Amir Hamzah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.