ad

Flotila bantuan hampir ke Gaza, dijangka tiba dalam tempoh tujuh hari

28 Sep 2025, 1:30 AM
Flotila bantuan hampir ke Gaza, dijangka tiba dalam tempoh tujuh hari
Flotila bantuan hampir ke Gaza, dijangka tiba dalam tempoh tujuh hari
Flotila bantuan hampir ke Gaza, dijangka tiba dalam tempoh tujuh hari

ISTANBUL, 28 SEPT: Flotila bantuan menuju Gaza kini berada 463 batu nautika dari wilayah yang dikepung Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan penganjur semalam.

Global Sumud Flotilla memaklumkan kapalnya telah menyambung perjalanan selepas berhenti seketika bagi menangani masalah mekanikal dan dijangka tiba dalam tempoh empat hingga tujuh hari.

“Dalam masa dua hari, flotila akan memasuki zon berisiko tinggi, ketika kewaspadaan dan solidariti global amat diperlukan,” menurut kenyataan penganjur di platform media sosial X.

Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Kepungan Gaza mendedahkan bahawa satu lagi flotila terdiri daripada 10 kapal awam telah belayar dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di bandar Catania, Sicily, membawa kira-kira 70 aktivis dari lebih 20 negara, dengan kerjasama Freedom Flotilla Coalition.

Peserta termasuk sembilan ahli parlimen terpilih dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Global Sumud Flotilla, yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, berlayar awal bulan ini dengan misi memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya lintasan ke Gaza, menghalang konvoi makanan dan bantuan sehingga menyebabkan keadaan kebuluran semakin meruncing.

Hanya bekalan terhad dibenarkan masuk secara berselang-seli, dan banyak daripadanya dirampas kumpulan bersenjata yang menurut pihak berkuasa Gaza dilindungi Israel.

Israel sebagai kuasa pendudukan mempunyai rekod memintas kapal-kapal menuju Gaza, merampas kapal serta mengusir aktivis.

Pengkritik menyifatkan tindakan itu sebagai lanun laut.

- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.