SHAH ALAM, 27 SEPT: Lebih 50,000 pengunjung dijangka memeriahkan Selangor Agrofest (SAF) 2025 yang berlangsung di Dataran Karnival Stadium Shah Alam sejak Khamis hingga esok.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata pihaknya turut menyasarkan nilai potensi transaksi jualan mencecah sehingga RM500,000 sepanjang empat hari penganjuran.
Jelasnya, festival pertanian terbesar negeri itu menampilkan kelainan tahun ini dengan pameran floria melibatkan 4,000 bunga orkid pelbagai jenis.
“Pameran ini mendapat sambutan ramai. Dalam masa sama, kita turut libatkan lebih 160 gerai dan pempamer termasuk jualan makanan, tidak termasuk reruai jabatan dan agensi kerajaan.
“Kita juga menonjolkan pusat lelongan Agro Selangor Plus dengan membina struktur pusat serta mengadakan lelongan beberapa hasil tani. Ini cukup menarik,” katanya selepas merasmikan festival berkenaan hari ini.
Izham berkata bermula tahun ini, SAF yang kali terakhir dianjur pada 2019 akan diadakan secara berselang seli dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
Katanya, penganjuran festival berkenaan penting sebagai platform kerajaan negeri menghargai warga tani yang sentiasa berusaha memajukan sektor pertanian.
“Ia juga membuka peluang kepada rakyat untuk melihat kejayaan pertanian sekali gus mendorong lebih ramai menceburi bidang ini, terutama golongan muda,” katanya.
Pada majlis sama, seramai 10 usahawan tani menerima anugerah Ikon Agro Selangor 2024/2025 dengan masing-masing membawa pulang hadiah bernilai RM10,000.
“Semua pemenang memenuhi kriteria ditetapkan antaranya berinovasi dan menggunakan teknologi moden. Saya harap anugerah ini menjadi suntikan semangat kepada usahawan tani lain,” katanya.