SHAH ALAM, 28 SEPT: Kekurangan tanah untuk pertanian mendorong Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada sektor pertanian bernilai tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi.
EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata pendekatan itu yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu terbukti berbaloi apabila pengusaha memperoleh pendapatan berganda berbanding kaedah konvensional.
“Antara sebab kita fokus kepada pertanian bernilai tinggi adalah kerana kekurangan tanah atau tapak untuk menjayakannya. Macam kaedah hidroponik, perlukan tapak.
“Jika keluasan tanah sama, hasil pertanian moden bernilai tinggi boleh mencapai tiga kali ganda berbanding kaedah konvensional. Ini bantu petani dapat pendapatan tinggi macam MeloSel dan Nanas MD2,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Selangor Agrofest (SAF) 2025 di Dataran Karnival Stadium Shah Alam yang berlangsung sejak Khamis hingga hari ini.
Menurut Izham, Kerajaan Negeri kini turut menekankan aspek pembenihan dan pembakaan sebagai usaha menyokong pembangunan sektor pertanian.
Usaha tersebut turut disokong Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang menyalurkan hampir RM30 juta bagi membantu pengusaha memenuhi kriteria projek pertanian bernilai tinggi.
“Tahun depan kita akan memperluas beberapa lagi tanaman bernilai tinggi seperti vanilla dan nangka J33. Usaha ini diyakini mampu meningkatkan lagi pendapatan petani di Selangor,” katanya.