KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Tiada kapal atau bot menyertai misi Global Sumud Flotilla yang dalam pelayaran ke Gaza menarik diri setakat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Beliau yang mengetuai panji Sumud Nusantara berkata bagaimanapun terdapat kapal atau bot yang tidak dapat belayar kerana rosak akibat disabotaj.
“Indonesia pula tarik diri untuk beri ruang kepada delegasi lain sejak di Tunisia lagi,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Pengarah Media Muslim Care Malaysia Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam misi berkenaan sebelum ini dilaporkan berkata misi flotila itu sudah tiba di selatan perairan Greece, melibatkan hampir 30 bot.
Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara diterajui Muhammad Nadir Al-Nuri.
Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF itu kini berada di perairan antarabangsa berhampiran dengan Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum tiba di perairan Gaza hujung bulan ini.
- BERNAMA