IPOH, 26 SEPT: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas mandi di Pantai Teluk Batik hari ini ditemukan lemas di perairan Pulau Pangkor, petang tadi.
Mangsa, V. Thanabalan, 60, dijumpai oleh orang awam dalam keadaan terapung kira-kira pukul 5.15 petang berhampiran dengan Masjid Al-Badr Seribu Selawat, Pulau Pangkor, iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata operasi pencarian menggunakan bot daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, BBP Pulau Pangkor, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
"Pada 5.15 petang, pasukan menerima maklumat daripada orang awam mengenai objek terapung berhampiran Masjid Al-Badr, sebelum pasukan mengesahkan ia merupakan mangsa.
“Mayat mangsa kemudian dibawa menaiki bot BBP Seri Manjung ke Pos Kawalan Bomba (PKB) di Teluk Batik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 5.40 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, keluarga mangsa memaklumkan mangsa hilang selepas masuk ke dalam air pagi tadi dan maklumat awal mendapati mereka sekeluarga sedang bercuti di kawasan pantai berkenaan serta melakukan upacara sembahyang sebelum kejadian berlaku.
-- BERNAMA
TAG: JBPM, BBP, lemas, Shazlean Mohd Hanafiah