SHAH ALAM, 26 Sept: Syarat memiliki lesen aktif untuk menggunakan petrol RON95 bukan sahaja memperkemas sistem agihan subsidi, malah menjadi mekanisme tambahan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Aktivitis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin berkata syarat tersebut akan membentuk sikap masyarakat untuk mematuhi undang-undang sekali gus mengatasi isu kelemahan penguatkuasaan kesalahan tiada lesen memandu.
“Sebelum ini mungkin kita ambil mudah, lesen tamat tempoh pun kita abaikan. Jadi bagi saya syarat ditetapkan kerajaan ini bagus.
“Individu tanpa lesen masih boleh membeli bahan api, tetapi pada harga lebih tinggi. Tindakan ini bertindak sebagai mekanisme tambahan bagi mengatasi kelemahan penguatkuasaan lalu lintas sebelum ini,” katanya yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kepada Media Selangor

Mengulas isu individu yang gagal memperbaharui lesen memandu lebih tiga tahun tidak layak menerima subsidi RON95, Shamrim berkata kewajipan menduduki semula ujian adalah langkah praktikal dan adil.
“Kerajaan mahu rakyat patuh undang-undang jalan raya dengan memastikan lesen sah dan aktif. Lesen aktif juga penting ketika laporan polis atau tuntutan insurans selepas kemalangan.
“Ramai orang, khususnya di luar bandar, menunggang kenderaan tanpa lesen dan latihan betul. Jadi tindakan kerajaan mengawal siapa layak menerima subsidi ini adalah bijak kerana turut meningkatkan keselamatan semua pengguna jalan raya,” ujarnya.
Skim subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95) akan mula dilaksanakan pada 30 September 2025, dengan menetapkan harga RON95 pada RM1.99 seliter bagi semua warganegara Malaysia yang layak.
Langkah ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan subsidi disalurkan dengan lebih adil dan berkesan kepada golongan yang selayaknya.