ad

Selangor Agrofest tarik pengunjung dari Pahang, peluang belajar kaedah tanaman, ternakan

26 Sep 2025, 10:11 AM
Selangor Agrofest tarik pengunjung dari Pahang, peluang belajar kaedah tanaman, ternakan
Selangor Agrofest tarik pengunjung dari Pahang, peluang belajar kaedah tanaman, ternakan

SHAH ALAM, 26 SEPT: Segmen pameran bunga di Selangor Agrofest 2025 menjadi daya tarikan peminat bunga bukan sahaja di Selangor bahkan pengunjung dari Pahang.

Wan Siti Nor Wan Yusuf,51, dari Jerantut berkata beliau sanggup datang ke festival itu bersama suaminya hanya mahu melihat pameran pelbagai jenis pokok orkid selain teknologi-teknologi pertanian.

“Saya memang minat pokok orkid dan pada pameran ini pelbagai jenis dibawa Jabatan Pertanian termasuk spesis yang sukar didapati, ia sangat menarik.

“Pameran seperti ini sangat bagus kerana masyarakat dapat melihat bagaimana kaedah-kaedah digunakan dalam pertanian bagi tanaman cili, padi, nanas serta ternakan,” katanya kepada Media Selangor.

Pengunjung Selangor Agrofest 2025, Wan Siti Nor Wan Yusuf

Bagi pekerja swasta, Azura Mohd Bharil,44, kehadiran kali pertama ke program Selangor Agrofest memberi peluang kepadanya merasai pelbagai produk usahawan yang tiada di pasaran luar.

“Kebanyakan produk usahawan di sini sukar didapati di pasaran luar atau banyak fokus di media sosial. Dengan adanya program seperti ini, saya dapat rasa sendiri keistimewaan setiap produk itu.

“Bukan itu sahaja, terdapat juga aktiviti khas disediakan untuk kanak-kanak, tidak terhad untuk dewasa sahaja,” ujarnya.

Pengunjung Selangor Agrofest 2025, Azura Mohd Bharil

Sementara itu, Pegawai Pemasaran Cravia Kerepek Lobak Merah Rahizad Abdullah menyifatkan penganjuran Selangor Agrofest membantu produk keluarannya lebih meluas.

“Kerepek lobak merah ini diperkenal pada 2016, antara keistimewaannya tidak mempunyai pengawet, gula dan ada vitamin A. Pengeluaran terhenti seketika pandemik namun kami bangkit dengan buat pasaran di media sosial.

“Dengan penyertaan di program seperti ini, ia menjadi platform kepada kami untuk mengembangkan lagi jualan bukan sahaja di Selangor tetapi luar Malaysia,” katanya.

Pegawai Pemasaran Cravia Kerepek Lobak Merah Rahizad Abdullah

Selangor Agrofest 2025 menampilkan kelainan apabila mempamerkan 4,000 pokok orkid kepada pengunjung.

Acara berkonsepkan rimbunan hutan yang berlangsung selama empat hari hingga Ahad di Dataran Karnival Stadium Shah Alam menawarkan 10 jenis pokok orkid di reruai floria.

Selangor Agrofest menyajikan pelbagai segmen menarik antaranya perkongsian teknologi pertanian di Selangor.

Julung kali diadakan bersama dengan pameran bunga, Selangor Agrofest 2025 turut dimeriahkan dengan aktiviti Agro Night Run, teka berat buah, cef cilik, Jualan Ehsan Rahmah dan persembahan artis.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.