SHAH ALAM, 26 SEPT: Penganjuran Selangor Agrofest 2025 menampilkan kelainan apabila mempamerkan 4,000 pokok orkid kepada pengunjung.
Acara berkonsepkan rimbunan hutan yang berlangsung selama empat hari hingga Ahad di Dataran Karnival Stadium Shah Alam menawarkan 10 jenis pokok orkid di reruai floria.
Timbalan Pengarah Pertanian (Pembangunan) Jabatan Pertanian Selangor, Wan Muhammad Zulkarnain Baharuddin berkata salah satu segmen menarik yang dibawa adalah pameran floria iaitu pokok orkid daripada Selangor.

“Semua pokok orkid ini diambil daripada usahawan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Buki Changgang. Kesemua 4,000 pokok ini kita susun jadikan sebagai rimbunan hutan orkid supaya dapat beri inspirasi kepada pengunjung.
“Selain itu, segmen kedua yang kita bawa adalah pameran teknologi tanaman bernilai tinggi di Selangor seperti MelonSel secara autoport yang mampu menyimpan baja dan air tanpa menggunakan elektrik.
“Bukan itu sahaja, kita juga mempamerkan sistem-sistem Internet Kebendaan (IoT) yang disambung dengan semua tanaman termasuk orkid,” katanya ditemui Media Selangor.

Sementara itu, Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah), Dato’ Dr Mohammad Syukri Ismail berkata pihaknya membawa sistem bidaan yang dilaksana di pusat lelongan di Sijangkang khas untuk usahawan.
“Kita beri peluang kepada usahawan termasuk petani dan penternak untuk menjadi vendor untuk terlibat dengan bidaan di pusat lelongan Kohijrah. Untuk pengetahuan, lebih 300 bidaan telah berjaya kita buat sejak sistem ini diperkenalkan.
“Bukan itu sahaja, memasuki hari kedua ini 100 usahawan telah berdaftar dengan Kohijrah. Mereka berminat untuk memasarkan produk bersama Kohijrah untuk pasaran lebih meluas,” katanya.
Selangor Agrofest menyajikan pelbagai segmen menarik antaranya perkongsian teknologi pertanian di Selangor.
Julung kali diadakan bersama dengan pameran bunga, Selangor Agrofest 2025 turut dimeriahkan dengan aktiviti Agro Night Run, teka berat buah, cef cilik, Jualan Ehsan Rahmah dan persembahan artis.