AKPS RAMPAS AYAM SEJUK BEKU BERNILAI RM228,510
ALOR SETAR, 26 Sept (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas 2,084 kotak ayam sejuk beku dianggarkan bernilai RM228,510 selepas memeriksa sebuah lori kontena di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.
AKPS memaklumkan pihaknya berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk ayam sejuk beku secara tidak sah itu melalui pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam dari Thailand kira-kira 11.40 pagi.
“Lori kontena berkenaan didaftarkan di negara ini. Pemeriksaan mendapati nombor yang tertera pada sijil halal tidak sepadan dengan maklumat yang terdapat pada pembungkusan produk.
“Hal itu menimbulkan keraguan dan disyaki satu bentuk pemalsuan atau memberi maklumat mengelirukan,” menurut AKPS dalam kenyataan.
Kesemua barang rampasan disita serta diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kedah untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
-- BERNAMA
TAG: AKPS, ICQS, ayam beku, lori kontena, Thailand