ad

Trump tegas tidak benarkan Israel ambil alih Tebing Barat, fokus rundingan Gaza

26 Sep 2025, 6:32 AM
Trump tegas tidak benarkan Israel ambil alih Tebing Barat, fokus rundingan Gaza

WASHINGTON, 26 SEPT: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Khamis menegaskan beliau tidak akan membenarkan sebarang pengilhakan Tebing Barat oleh Israel, yang dianggap sebagai “garis merah” oleh pemimpin Arab dalam usaha mencapai perjanjian gencatan senjata di Gaza, lapor Xinhua.

“Saya tidak akan benarkan Israel aneksasi Tebing Barat. Saya tidak akan benarkan. Ia tidak akan berlaku. Sudah cukup. Masa untuk hentikan sekarang,” kata Trump kepada wartawan di Rumah Putih sambil memaklumkan bahawa beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Trump memberi jaminan kepada pemimpin Arab dan Islam bahawa beliau tidak akan membenarkan aneksasi itu semasa pertemuan tertutup di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Selasa, satu janji penting dalam pelan 21 perkara yang dibentangkan pentadbiran Trump bagi menamatkan konflik Israel-Hamas, menurut laporan Politico.

Pelan terbaharu itu diumumkan ketika tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin meningkat berikutan krisis kemanusiaan yang kian meruncing di Gaza.

Pertemuan itu turut dihadiri pemimpin dan pegawai kanan dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia dan Pakistan.

Emiriah Arab Bersatu sebelum ini memberi amaran bahawa sebarang tindakan aneksasi oleh Israel akan menjadi “garis merah”.

Namun, menurut laporan yang memetik sumber rapat dengan rundingan itu, usaha mencapai gencatan senjata bagi menamatkan perang hampir dua tahun Israel menentang Hamas di Gaza masih jauh daripada kenyataan meskipun dengan jaminan Trump.

Ketika bertemu Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Rumah Putih pada Khamis, Trump memberitahu wartawan bahawa “banyak perkara telah diputuskan dalam mesyuarat itu.”

“Kami hampir mencapai satu bentuk perjanjian. Kami mahu tahanan dibebaskan… Kami mahu mereka semua dibebaskan serentak,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, pemimpin Arab menetapkan beberapa syarat: Israel tidak akan aneksasi mana-mana bahagian Tebing Barat atau Gaza, tidak menduduki mana-mana bahagian Gaza, tidak membina penempatan di Gaza, berhenti menjejaskan status quo di Masjid Al-Aqsa, serta meningkatkan segera bantuan kemanusiaan ke Gaza.

- BERNAMA-XINHUA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.