KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju Sistem Televisyen Litar Tertutup (CCTV) berteknologi tinggi dilaksanakan di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan lokap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) seluruh negara.
Beliau berkata ia antara usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan dalam memastikan keselamatan tahanan terpelihara.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata pelaksanaan sistem itu dipersetujui pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 yang dipengerusikan beliau, semalam.
“Pelaksanaan ini merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dalam memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan turut memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara yang bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara, bahkan menyebabkan ketirisan hasil laut negara yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan.
Anwar berkata atas keprihatinan dan pendirian kerajaan untuk tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara, mesyuarat turut bersetuju supaya isu melibatkan perairan negara diatasi melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara terlibat.
“Reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui hari ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara serta mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam,” kata beliau.
- BERNAMA