SHAH ALAM, 25 SEPT: Syarat memiliki lesen memandu sah sebelum layak menikmati subsidi RON95 akan mendidik masyarakat khususnya golongan muda mengenai kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya.
Beberapa anak muda yang ditemui berkata program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) juga memastikan hanya golongan yang benar-benar layak sahaja menikmati manfaat tersebut, sekali gus mengelak ketirisan.

Pelajar Todak Academy, Muhammad Haziq Isyraf Mohd Rizuwan berkata langkah tersebut wajar demi mendidik masyarakat khususnya anak muda yang mungkin selama ini bebas mengisi petrol meskipun tiada lesen memandu.
"Saya sokong sebab ini untuk masa depan anak-anak muda untuk sentiasa ikut peraturan, ikut undang-undang," katanya kepada Media Selangor.

Pandangan sama dikongsi pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah, Addin Siddiq Jalaluddin yang menegaskan syarat ditetapkan kerajaan adalah munasabah kerana setiap pemandu wajib memiliki lesen sah untuk berada di atas jalan raya.
"Mereka yang memandu di jalan raya adalah mereka yang ada lesen, jadi tidak akan timbul masalah untuk mereka mendapatkan subsidi minyak daripada kerajaan. Jika ada lesen sah, kita dapat subsidi RON95," katanya.

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jalil, Nur Zamiera Arisya Rusli, syarat lebih ketat akan menggalakkan mereka yang selama ini memandu kenderaan tanpa lesen untuk berubah sikap.
"Saya ada terbaca syarat isi petrol ini. Saya rasa bagus idea ini. Selain kurangkan beban subsidi kerajaan, peraturan ini juga beri kesedaran kepada masyarakat pentingnya mematuhi undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, pelajar Kolej Komuniti Kelana Jaya, Aqmar Nur Iman Mohd Fakhrul Azman berkata langkah tersebut akan mengelak berlaku penyalahgunaan subsidi.
"Ok lah sebab sekarang pun banyak kes yang warga asing yang menggunakan subsidi kerajaan berikan. Macam tak adil lah kan. Kita rakyat, kita punya subsidi tu tapi warga asing yang ambil. Memang perlukan lesen lah," katanya.
Skim subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95) akan mula dilaksanakan pada 30 September 2025, dengan menetapkan harga RON95 pada RM1.99 seliter bagi semua warganegara Malaysia yang layak.
Langkah ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan subsidi disalurkan dengan lebih adil dan berkesan kepada golongan yang selayaknya.