ad

Ekonomi jingga: Komuniti komedi mahu dasar, dana dan promosi lebih tersusun

26 Sep 2025, 7:00 AM
Ekonomi jingga: Komuniti komedi mahu dasar, dana dan promosi lebih tersusun
Ekonomi jingga: Komuniti komedi mahu dasar, dana dan promosi lebih tersusun
Ekonomi jingga: Komuniti komedi mahu dasar, dana dan promosi lebih tersusun

SHAH ALAM, 26 SEPT: Persatuan Komediri Melayu Malaysia menggesa kerajaan merangka dasar ekonomi kreatif atau ekonomi jingga yang lebih tersusun bagi merancakkan industri komedi tanah air.

Gesaan itu selari dengan hasrat Kerajaan Selangor yang bakal melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 pada November ini, susulan penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor (SCEE25) di Shah Alam baru-baru ini.

Pengerusinya Mohd Rizal Fahmi Mukhter atau lebih dikenali sebagai Rayza Mukmin berkata sokongan kerajaan penting kerana industri komedi berpotensi menjana pendapatan besar jika wujud ekosistem yang jelas.

Pengerusi Persatuan Komediri Melayu Malaysia Mohd Rizal Fahmi Mukhter, 38, atau lebih dikenali Rayza Mukmin bercakap kepada media selepas persembahan komedi di Rumah Aktivis YRN, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur pada 5 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Indonesia telah membuktikan kejayaan apabila menubuhkan Kementerian Ekonomi Kreatif sejak 2009. Mereka ada komuniti pelawak di setiap daerah dengan latihan tersusun.

Di Malaysia, pemain industri masih bergerak sendiri, bergantung pada komuniti kecil,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Cabaran bajet kekang potensi pelawak tempatan

Menurut Rayza, persatuan yang ditubuhkan sejak 2023 kini mempunyai 23 ahli dari pelbagai latar belakang profesional namun berdepan cabaran kewangan untuk menganjurkan persembahan berskala besar.

“Buat masa ini kami guna konsep open mic di Rumah Aktivis YRN, penonton masuk percuma dan pelawak boleh rakam persembahan untuk portfolio. Namun bila mahu sewa dewan, kos pentas, sistem bunyi dan cahaya jadi kekangan utama,” jelasnya.

Beliau menambah, sebahagian pelawak terpaksa menolak undangan daripada penganjur di Indonesia dan Singapura kerana kekangan bajet.

Rayza turut mencadangkan kerajaan menyalurkan dana dan geran khusus kepada artis komedi termasuk bantuan fasiliti serta promosi.

“Sokongan dana bukan sahaja beri ruang berkarya, malah platform ini melatih kemahiran komunikasi dan pengucapan awam yang boleh dikembangkan ke sektor lain,” katanya.

Libat urus bersama pemain industri

Sementara itu, Naib Pengerusinya Mohd Nornizam Mohd Yusof atau Nizam Jentik-Jentik, menggesa kerajaan melibatkan penggiat seni dalam setiap perbincangan dasar ekonomi jingga.

Timbalan Pengerusi Persatuan Komediri Melayu Malaysia Mohd Nornizam Mohd Yusof, 44, atau lebih dikenali Nizam Jentik-Jentik bercakap kepada media selepas persembahan komedi di Rumah Aktivis YRN, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur pada 5 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Dialog dan forum bersama pemain industri perlu untuk kerajaan memahami cabaran sebenar. Dasar yang dirangka juga mesti melibatkan karyawan arus perdana dan underground,” katanya.

Nizam menambah, sektor komedi Malaysia berpotensi menembusi pasaran antarabangsa sekiranya ekosistem lebih mantap dibentuk.

“Saya sendiri pernah anjur persembahan di Johor Bahru, hampir 40 peratus penonton datang dari Singapura. Jika ada sokongan dana dan promosi, kita mampu tarik lebih ramai penonton luar,” ujarnya.

Selangor pelopor pembangunan ekonomi kreatif

Selangor kini giat mengukuhkan peranan sebagai hab ekonomi kreatif serantau bermula dengan penganjuran SCEE25 baru-baru ini.

Kerajaan Negeri menyasarkan sektor berkenaan mampu menyumbang sehingga RM20 bilion kepada KDNK menjelang 2035, berbanding hanya RM2 bilion ketika ini.

EXCO Keusahawanan Najwan Halimi sebelum ini mengumumkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 akan dilancar pada November, dengan fokus kepada teras multimedia, warisan dan seni budaya.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media selepas majlis perasmian Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor (SCEE25) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 23 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR


Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY) Aiman Syafiq Nazri berkata pihaknya mengenal pasti tiga daerah berpotensi menjadi pusat fokus ekonomi jingga iaitu:

  • Kuala Selangor (gastronomi)

  • Petaling (hab kreatif belia)

  • Cyberjaya (animasi)

Inisiatif tersebut digerakkan oleh SAY bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama agensi berkaitan.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan melawat pameran sebelum majlis perasmian Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 23 September 2025. Turut hadir, EXCO Belia & Keusahawanan Mohd Najwan Halimi. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.