ad

Gastronomi, animasi antara fokus ekonomi jingga negeri

24 Sep 2025, 10:35 AM
Gastronomi, animasi antara fokus ekonomi jingga negeri

SHAH ALAM, 24 SEPT: Tiga daerah dikenal pasti menjadi pusat fokus ekonomi kreatif bagi sektor gastronomi, animasi dan hab kreatif yang bakal dibangunkan dalam Pelan Tindakan Ekonomi Selangor 2025-2035.

Ia melibatkan Kuala Selangor bagi industri gastronomi, Petaling sebagai lokasi hab kreatif belia manakala Cyberjaya memiliki kelebihan dalam sektor animasi, kata ketua pegawai eksekutif Selangor Youth Community (SAY).

Jelas Aiman Syafiq Nazri, pihaknya kini masih meneliti kelebihan seni di beberapa lagi daerah supaya setiap kawasan memiliki hab seni kreatif berbeza sekali gus menyokong usaha negeri memperkukuh ekonomi jingga.

“Kita akan cuba padankan setiap hab kreatif ini mengikut kekuatan dan kelebihan yang ada di sesuatu kawasan. Setiap lokasi dibangunkan mempunyai kelebihan seni itu sendiri.

“Pembangunan hab ini tidak memerlukan pembinaan bangunan baharu sebaliknya kita menggunakan infrastruktur dan fasiliti sedia ada,” katanya.

CEO Selangor Youth Community (SAY), Aiman Syafiq Nazri pada Majlis perasmian penutup Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 24 September 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Beliau ditemui pada hari terakhir penganjuran Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) yang berlangsung sejak semalam di Pusat Konvensyen MBSA hari ini.

SAY merupakan agensi bergerak bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri bagi merangka pembangunan menyeluruh ekonomi kreatif dan bakal bekerjasama dengan agensi lain antaranya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia dan Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor.

Semalam EXCO keusahawanan berkata sektor ekonomi kreatif negeri berpotensi menyumbang RM20 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ketika ini Selangor hanya menyumbang RM2 bilion, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini.

Berikutan itu Najwan Halimi berkata pentadbiran akan melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025-2035 yang memfokuskan teras multimedia, warisan dan seni budaya pada November ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.