SHAH ALAM, 25 SEPT: Bintang pickleball dunia, Ben Johns menasihatkan pemain supaya kekal fokus ketika dalam pertarungan dan memperbaiki corak permainan dari semasa ke semasa.
Ben yang julung kali tampil pada saingan Pickleball Tour Asia (PPA) itu berkata setiap pertarungan memberi saingan tersendiri namun pemain perlu kekal fokus supaya tidak mempengaruhi prestasi.
"Cabaran terbesar bagi setiap atlet adalah jadual yang padat dan pertambahan pemain yang sudah pasti memberi saingan antara satu sama lain.
"Oleh itu, apa yang boleh dikongsi adalah setiap atlet mempunyai tujuan dan aspirasi tetapi mungkin tersasar. Apa yang boleh dinasihatkan adalah cuba menjaga perspektif dan membaikinya dari semasa ke semasa," kata pemain dari Amerika Syarikat itu.
Terdahulu, berlangsung sidang media memperkenalkan pemain bertaraf dunia yang turut bersaing dalam kejohanan itu termasuk Tyson McGuffin, Zane Navratil dan Grayson Goldin.
Kejohanan sukan pickleball terbesar Asia itu kembali dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan USD150,000.
Diadakan di 9Pickle Setia Alam, kejohanan yang disertai 12 pemain pickleball bertaraf dunia lain berlangsung lima hari sehingga 28 September ini.
Sementara itu, bintang pickleball dari Taiwan Zoey Wang Chao Yin berpendapat kemudahan sukan itu di Malaysia boleh didapati di mana-mana.
"Bagi saya semua orang Asia secara keseluruhan suka bermain sukan berkumpulan, ini menjadikannya lebih seronok.
"Apabila lebih ramai bermain dan diminati, mungkin satu hari akan dipertanding dalam Olimpik. Jadi, kita sekarang berada di landasan tepat," katanya.