ad

Lembaga Zakat Selangor catat rekod agih zakat lebih RM1 bilion

24 Sep 2025, 1:09 PM
Lembaga Zakat Selangor catat rekod agih zakat lebih RM1 bilion

SHAH ALAM, 24 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatat sejarah sebagai institusi zakat pertama di Malaysia yang mengagihkan rukun Islam ketiga itu melebihi RM1 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata kejayaan berkenaan hasil kepercayaan berterusan pembayar zakat sepanjang lebih 30 tahun institusi itu beroperasi di negeri ini.

“Agihan zakat melonjak daripada RM16.3 juta pada 1995 kepada RM1.19 bilion pada 2024. Prestasi membanggakan ini (kutipan dan agihan) bersamaan dengan kadar 17 peratus peningkatan secara purata tahunan.

“Bagi tahun ini pula, LZS menyasarkan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM1.328 bilion dengan kutipan zakat perniagaan adalah sebanyak RM205 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan menerusi Majlis Hi-Tea yang diadakan di Lado By The Lake, Shah Alam di sini hari ini.

Turut berkenan mencemar duli ke majlis anjuran LZS dan Yayasan Raja Muda Selangor itu adalah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Dalam pada itu, Mohd Khaidzir berkata trend masyarakat menunaikan rukun Islam ketiga itu dilihat semakin memberangsangkan apabila lebih 14,000 syarikat, usahawan dan peniaga tampil menunaikan zakat sehingga berjaya menyumbang hampir RM200 juta pada 2024.

“Tahun ini pula, walaupun belum sampai hujung tahun, LZS menerima zakat perniagaan lebih 8,500 syarikat, usahawan dan peniaga, dengan jumlah kutipan melebihi RM117 juta. Satu petanda positif bahawa kesedaran korporat terus meningkat,” katanya.

Terdahulu, Tengku Amir berkenan menyaksikan bayaran zakat perniagaan dari 22 syarikat dengan jumlah keseluruhan RM6.12 juta diserahkan kepada Timbalan Pengerusi LZS Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.