DILI, 24 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dua hala sambil meningkatkan serta mempelbagaikan hubungan ekonomi.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir lawatan rasmi dua hari Anwar ke negara itu, kedua-dua pemimpin menyambut baik momentum yang semakin berkembang dalam hubungan dua hala.
“Kedua-dua pemimpin menegaskan semula komitmen untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai sektor, iaitu perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, kesihatan, pembangunan kapasiti dan pelancongan untuk manfaat rakyat kedua-dua negara.
“Bagi memperkukuh serta mempelbagaikan lagi kerjasama ekonomi, kedua-dua pemimpin menggesa kedua-dua pihak bekerjasama untuk mewujudkan kerjasama ekonomi yang lebih dinamik dan pelbagai, serta menggalakkan penglibatan lebih erat antara sektor swasta Malaysia dan Timor-Leste,” menurut kenyataan itu.
Mengenai penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN, Malaysia menegaskan sokongan penuh kepada Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober.
Menurut kenyataan itu kedua-dua pemimpin mengingatkan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk mempercepatkan rundingan mengenai perjanjian ekonomi utama bagi memudah cara proses berkenaan.
“Malaysia juga menegaskan kesediaan untuk terus menyediakan bantuan pembangunan kapasiti dan sokongan lain yang diperlukan bagi mempersiapkan Timor-Leste menjadi anggota penuh ASEAN. Timor-Leste menzahirkan penghargaan mendalam kepada Kerajaan Malaysia atas sokongan teguh dan konsisten terhadap proses penyertaan serta integrasi Timor-Leste ke dalam ASEAN,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Anwar dan Gusmao menyambut baik pelancaran penerbangan Batik Air antara Kuala Lumpur dan Dili serta pengecualian visa kepada rakyat Malaysia untuk memasuki Timor-Leste berkuat kuasa 16 Ogos.
“Perkembangan ini akan memudahkan perjalanan yang lebih kerap, merancakkan pelancongan, meningkatkan peluang perniagaan dan pelaburan serta menggalakkan pertukaran hubungan rakyat dengan rakyat,” menurut kenyataan bersama itu.
Anwar dan Gusmao turut membincangkan isu serantau dan global. Berhubung Myanmar, mereka menggesa gencatan senjata segera serta akses kemanusiaan.
“Kedua-dua pemimpin menegaskan Konsensus Lima Perkara kekal sebagai rujukan utama ASEAN untuk menangani krisis politik di Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Mengenai Palestin, kenyataan bersama itu menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza.
“Kedua-dua pemimpin mengecam keganasan tanpa diskriminasi dan sekatan sistematik yang mengakibatkan jumlah korban awam besar serta kekurangan kritikal bekalan penting,” katanya sambil menambah bahawa mereka menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas serta menyokong pengiktirafan Palestin berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Anwar turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra sepanjang lawatannya, sambil menyatakan bahawa penghormatan itu mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Timor-Leste.
- BERNAMA