ad

SUKMA 2026: Ragbi Selangor fokus kekalkan emas wanita, lonjak prestasi skuad lelaki

24 Sep 2025, 4:58 AM
SUKMA 2026: Ragbi Selangor fokus kekalkan emas wanita, lonjak prestasi skuad lelaki
SUKMA 2026: Ragbi Selangor fokus kekalkan emas wanita, lonjak prestasi skuad lelaki
SUKMA 2026: Ragbi Selangor fokus kekalkan emas wanita, lonjak prestasi skuad lelaki

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kesatuan Ragbi Selangor kini giat menyiapkan barisan atlet terbaik bagi menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, dengan sasaran skuad wanita mempertahankan kejuaraan manakala skuad lelaki mara ke separuh akhir.

Presidennya Lim Yi Wei berkata pihaknya mempunyai tempoh enam bulan untuk menilai dan memilih atlet yang benar-benar layak mewakili negeri ini.

Presiden Kesatuan Ragbi Selangor Lim Yi Wei ditemui ketika perlawan Liga Ragbi MSNS-KRS 2025 di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Kita masih dalam proses pemilihan atlet dan kini sedang menjalani latihan berpusat. Masih ada enam bulan lagi untuk mengenal pasti atlet yang boleh mewakili Selangor pada SUKMA nanti.

“Untuk kejohanan nanti, kita sasar skuad ragbi wanita kekalkan kejuaraan, sementara lelaki pula dapat mara ke separuh akhir berbanding SUKMA di Sarawak sebelum ini hanya di tempat kelima,” katanya kepada Media Selangor.

Pasukan ragbi wanita Selangor sebelum ini menutup kempen SUKMA Sarawak 2024 dengan gemilang apabila membawa pulang emas selepas menewaskan tuan rumah 12-7 di pentas final. Skuad lelaki pula sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima.

SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan dipertandingkan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.

Sebanyak sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.