ad

Buaya tembaga 3.65 meter ditangkap di Pantai Teluk Bahang

23 Sep 2025, 12:34 PM
Buaya tembaga 3.65 meter ditangkap di Pantai Teluk Bahang

GEORGE TOWN, 23 SEPT: Kemunculan seekor buaya tembaga di pesisir pantai di belakang sebuah hotel di Teluk Bahang, dekat sini, menggemparkan orang ramai termasuk pelancong, sebelum reptilia sepanjang 3.65 meter itu berjaya ditangkap pihak berkuasa hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Timur Laut Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata pihaknya menerima makluman berhubung penemuan buaya itu daripada orang awam pada kira-kira 3.30 petang sebelum pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terus ke lokasi.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, pasukan APM) mendapati buaya itu berada di pesisir pantai yang sering menjadi tumpuan pelancong, nelayan dan penduduk setempat.

“Percubaan pertama menggunakan bot dan pukat nelayan berjaya membawa buaya itu ke pantai, namun ia terlepas selepas pukat pecah. Cubaan kedua pada pukul 6 petang akhirnya membuahkan hasil apabila reptilia itu berjaya ditangkap dengan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Buaya berkenaan kemudian diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Muhammad Aizat berkata pasukan penyelamat pantai (BAYWATCH) APM akan terus melakukan pemantauan di sekitar kawasan pantai dan laut bagi memastikan keselamatan orang awam.

Beliau turut menasihatkan pengunjung supaya berwaspada ketika mandi-manda serta segera menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Operasi Negeri APM Pulau Pinang di 04-226 3876 jika ternampak reptilia berkenaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.