KUCHING, 23 SEPT: Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang tular dalam rakaman video di media sosial memperlihatkan beliau seolah-olah menjadi mangsa kekerasan fizikal, menafikan dirinya dibuli.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pelajar tersebut bersama ibu dan bapanya hadir ke balai polis untuk menjelaskan bahawa kejadian itu hanyalah gurauan rakan-rakan sempena sambutan hari lahirnya pada 19 September lalu, tanpa unsur paksaan atau penderaan.
“Sehubungan itu, polis telah memanggil pegawai institut berkenaan, ibu bapa serta kesemua pelajar berumur dalam lingkungan 18 tahun hingga 24 tahun yang terlibat dalam rakaman video tersebut untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan dan mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut.
“Polis akan terus memantau perkembangan kes ini, polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya muncul laporan atau bukti baharu yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah buli,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Farhan berkata pihak IKBN Miri juga telah mengesahkan kejadian berlaku dalam kawasan kampus dan pihak institut juga memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap kesemua pelajar terlibat.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan rakaman berkenaan atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam, sebaliknya menyalurkan maklumat relevan terus kepada polis bagi tindakan sewajarnya.
Sebelum ini satu rakaman video berdurasi 13 saat telah tular di media sosial yang memperlihatkan sekumpulan lelaki mengangkat seorang individu dalam keadaan terkangkang hingga terkena tiang. Video tersebut menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat serta spekulasi berhubung kemungkinan berlaku kejadian buli.
- BERNAMA