KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Hujan lebat berserta angin kencang petang tadi mengakibatkan kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi sekitar ibu kota, sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan bermula jam 3.30 petang hingga 7 malam sebelum pasukan dikerahkan ke kawasan terjejas untuk kerja pembersihan dan pemotongan pokok, lapor Sinar Harian.
Antara lokasi terbabit ialah Jalan Tempinis, Lorong Maarof, simpang Asasi Universiti Malaya, Jalan Medang Kapas, Jalan Kebun Bunga, Jalan Cenderasari, Sri Desa Entrepreneur Park, Desa Putra Condominium, Wangsa Maju, Jalan Langkawi Taman Setapak, Kolej Vokasional Jalan Genting Klang, Kuarters Polis Kelumpuk Cempaka serta Jalan Midah Tengah.
Beberapa kenderaan turut dihempap pokok, namun keadaan berjaya dikawal dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk Skuad Kecemasan, Bahagian Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan.
Bomba menegaskan tahap kesiapsiagaan berada pada paras tinggi berikutan amaran cuaca buruk yang dijangka berterusan.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Sarawak.