KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Kanak-kanak yang disahkan menghidap barah mempunyai peluang besar untuk pulih, iaitu sekitar 70 hingga 80 peratus, sekiranya rawatan diberikan seawal mungkin.
Pakar Pediatrik Haematologi dan Onkologi Hospital Tunku Azizah Dr. Kogilavani Gunasagaran berkata kejayaan rawatan banyak bergantung kepada jenis, tahap barah, penerimaan pesakit terhadap rawatan selain sokongan daripada keluarga dan pasukan kesihatan.
“Kalau kita rawat lambat, memang hasilnya tidak memuaskan. Penyakit barah ini, untuk saya penyakit yang sangat bahaya sebab dia boleh membunuh. Tanpa rawatan memang pasti tidak dapat selamatkan nyawa.
“Kita selalu tekankan rawatan yang betul, pada masa yang optimum dengan ubat-ubat yang kita ada dan sokongan daripada semua pihak. Untuk rawatan memang banyak teknologi baru sudah dikaji dan disahkan bermanfaat.

“(Contohnya) Daripada segi kemoterapi banyak ubat-ubat kita panggil ubat terapi ‘targeted’ yang telah membantu pesakit, jadi ubat-ubat itu memang kita kena buat permohonan khas dan dapatkan untuk pesakit,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Pegawai Farmasi Klinikal Pediatrik Haematologi dan Onkologi Hospital Tunku Azizah Dr Rizal Husaini Razali berkata kelewatan mendapatkan rawatan di hospital boleh menjejaskan peluang untuk sembuh, malah menyebabkan kadar keberhasilan rawatan merosot.
“Contohnya ada pesakit, sepatutnya perlu kemoterapi tetapi keluarga tidak mahu kemoterapi, disebabkan mitos kata boleh lumpuh. Mereka tidak ambil rawatan, bersetuju untuk tambah darah. Pernah berlaku sampai pesakit meninggal dunia.
“Itu kesan kepada pesakit, sedangkan kalau mula rawatan peluang untuk sembuh itu orang kata ada 80 peratus boleh sembuh. Kalau tidak bagi rawatan, berdasarkan pengalaman saya pernah ada kes, sebulan setengah saja, memang tidak boleh selamatlah.

“Kalau boleh bila doktor sudah sahkan, lagi cepat kita mula rawatan, lagi bagus. Berdasarkan pengalaman saya, bila kita tidak rawat, jangka hayat itu satu hingga dua bulan saja. Kita nak cuba atau tidak mahu cuba. Saya harap ibu ayah, berbincang dengan pakar, cakap dengan pakar. Kita dekat sini, akan bantu,” katanya.
Kedua-duanya juga senada bahawa diagnosis awal serta rawatan moden di hospital menjadi faktor penentu utama pemulihan barah kanak-kanak. Namun, pasukan kesihatan masih berdepan pelbagai mitos rawatan alternatif dan mereka yang sukar menerima bahawa barah juga boleh terjadi pada kanak-kanak.
Menurut Dr. Kogilavani, barah kanak-kanak bukanlah akibat gaya hidup dan pemakanan ibu mengandung, sebaliknya mutasi genetik yang boleh berlaku sejak dalam kandungan, justeru pengendalian rawatan tidak sama dengan pesakit barah dewasa.
“Barah dalam kalangan orang dewasa lebih kepada gaya hidup. Kalau kanak-kanak lebih kepada mutasi genetik. Bukan semua mutasi adalah keturunan, lebih kurang 10 peratus adalah keturunan, yang selebihnya kita tak tahu kenapa.
“Jadi kita tidak boleh samakan barah dalam kalangan kanak-kanak dengan dewasa. Penyebabnya lain, cara kita rawat lain,” katanya.
Dr. Kogilavani berkata masih ramai beranggapan barah hanya menyerang orang dewasa, sedangkan kanak-kanak juga boleh menghidap penyakit itu. Justeru, kesedaran perlu dipertingkat agar ibu bapa menerima hakikat tersebut dan terbuka untuk mendapatkan rawatan.
“Ramai orang di luar sana fikir barah hanya untuk orang dewasa. Masih lagi segelintir yang tidak dapat terima kalau mereka diberitahu anak dia ada barah. Soalan pertama mereka, betulkah doktor? Bolehkah kanak-kanak dapat barah?
“Jadi kita perlu meningkatkan kesedaran, sebab bila mereka terima hakikat, kanak-kanak boleh ada barah baru mereka boleh terbuka untuk rawatan. Kalau tidak kita akan sangkut daripada awal. Disebabkan itu perlukan bulan kesedaran kanser kanak-kanak diadakan,” katanya.
Ketua Jururawat Wad Pediatrik Haematologi dan Onkologi Hospital Tunku Azizah Siti Balkhis Naamandadin berkata berkhidmat hampir 18 tahun dalam bidang pediatrik, tugas itu menuntut tahap kesabaran dan kecekapan yang tinggi kerana pesakit adalah kanak-kanak yang memerlukan pendekatan penuh empati.

“Jururawat yang berada di dunia kanak-kanak ini, cabarannya sebab pesakit kami ini kanak-kanak. Jadi kita perlu kendalikan pesakit itu dengan kata-kata yang lembut, sentuhan yang lembut dan kena pandai ambil hati mereka supaya dia dapat memberikan kerjasama dengan jururawat itu sendiri.
“Jadi kami sangat menekankan soft skill kepada pesakit-pesakit kami. Bukan sahaja pesakit, malah ibu bapa pesakit pun kita perlu bercakap dengan baik supaya kita dapat kerjasama yang mudah daripada mereka untuk menjalankan rawatan.
“Jadi rawatan yang diberi itu perlulah teliti. Contohnya ubat-ubatan kemoterapi, banyak. Jadi saya sebagai ketua jururawat yang menjaga wad perlu memantau, memastikan supaya tiada berlaku kesilapan, kecuaian dalam pemberian ubat-ubatan kepada pesakit,” katanya.
Info:
Lima jenis barah utama kanak-kanak:
Leukemia
Otak dan saraf tunjang
Limfoma
Mata (retinoblastoma)
Tulang (osteosarcoma)
Di Malaysia, sekitar 700 kanak-kanak didiagnos dengan barah setiap tahun
Tanda amaran barah kanak-kanak
Demam berpanjangan
Pucat, lebam atau pendarahan, sakit tulang
Perubahan mata - anak mata putih, juling yang baru, hilang penglihatan, lebam atau bengkak di sekitar mata
Bengkak perut
Sakit kepala, terutamanya jika berterusan atau teruk
Sakit anggota badan atau tulang, bengkak tanpa trauma atau tanda jangkitan
Penurunan berat badan atau demam tanpa sebab, batuk yang berterusan, berpeluh pada waktu malam