ad

Liga Super: Kuching City pintas Selangor, menang tipis 1-0

21 Sep 2025, 12:43 PM
Liga Super: Kuching City pintas Selangor, menang tipis 1-0

KUCHING, 21 SEPT: Kuching City FC berjaya memintas kedudukan Selangor FC selepas mengutip tiga mata hasil kemenangan tipis 1-0 di Stadium Negeri, petang ini.

Ramdhan Saifullah muncul wira tuan rumah apabila meledak gol menerusi sepakan percuma menewaskan penjaga gol Selangor Kalamullah Al-Hafiz pada minit ke-68.

Kejayaan di laman sendiri menyaksikan Kuching City kini mengumpul tujuh mata untuk melonjak ke tangga keempat carta Liga Super 2025/2026.

Pada aksi hari ini, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak berdepan detik cemas apabila hampir dihukum beraksi dengan 10 pemain selepas Daniel Amier dilayangkan kad merah pada minit ke-38 kerana mengasari pemain Selangor Alvin Fortes.

Insiden berkenaan mencetuskan kekecohan di padang, namun selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah membatalkan keputusan dan menukarnya kepada kad kuning.

Permukaan padang yang keras akibat cuaca panas terik pada sebelah petang turut menyukarkan pergerakan bola, menyebabkan kedua-dua pasukan terpaksa menyesuaikan corak permainan masing-masing.

Selangor lebih banyak menguji benteng lawan pada babak kedua, namun ketangkasan penjaga gol tuan rumah Haziq Nadzli, berjaya menafikan setiap percubaan pelawat.

Keputusan 1-0 yang berpihak kepada Kuching City kekal hingga wisel penamat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.