SHAH ALAM, 18 SEPT: Seramai 628 penjawat awam termasuk kakitangan Persekutuan yang berkhidmat di Selangor diisytihar bankrap sejak 2020 hingga kini, didorong pinjaman peribadi dan gaya hidup mewah.
Pengarah Insolvensi Negeri K Pavani berkata berdasarkan kajian, pinjaman peribadi dikenal pasti sebagai faktor utama, diikuti pinjaman perumahan dan kenderaan.

“Yang utama pinjaman peribadi. Kebelakangan ini kita nampak dari kad kredit. Tren meningkat namun tahun ini kes menurun, menunjukkan satu hasil yang baik.
“Untuk pinjaman peribadi, saya rasa kita mungkin kena pertingkatkan lagi kesedaran dan mungkin bank juga perlu melihat hal ini termasuk perketat permohonan. Itu cadangan kita,” katanya ketika ditemui pada program literasi kewangan untuk penjawat awam Selangor anjuran Jabatan Insolvensi Negeri di sini hari ini.

Program yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam ucapannya, Azalina menegaskan masalah kewangan bukan semata-mata berpunca daripada kenaikan kos sara hidup, sebaliknya lebih banyak disumbangkan oleh corak hidup mewah dan berlebihan.

“Ada kata (masalah kewangan) disebabkan kos sara hidup naik. Tapi maklum balas saya, masalah sekarang ialah gaya hidup. Kalau gaya hidup mewah, berapa banyak ada pun tak mencukupi.
“Bila seseorang berhutang kad kredit, lupa bayar kadar faedah. Selalunya bayar pokok sahaja. Sebab itu hutang tak selesai walaupun kerajaan buat pindaan untuk bantu. Kesimpulannya tetap sama,” katanya.