ad

Terima enam laporan baharu amang seksual, guru agama ditahan semula

21 Sep 2025, 10:00 AM
Terima enam laporan baharu amang seksual, guru agama ditahan semula

KOTA BHARU, 21 SEPT: Polis menahan semula seorang guru agama yang telah didakwa di beberapa mahkamah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki, selepas menerima enam laporan baharu kes serupa.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek berusia 46 tahun ditahan sejurus dibebaskan dengan jaminan RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen Terengganu pada Jumaat lepas.

“Setakat ini, polis menerima enam laporan baharu dan suspek dijangka berdepan pertuduhan tambahan dalam masa terdekat.

“Kami percaya kemungkinan lebih banyak laporan akan diterima kerana semakin ramai mangsa berani tampil,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Selain di Terengganu, suspek juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen di Kelantan atas pertuduhan melakukan amang seksual dan memiliki gambar lucah.

Sementara itu, mengenai isu rogol suka sama suka, Mohd Yusoff mencadangkan perbincangan diadakan supaya tindakan diambil terhadap pasangan terlibat dan bukan pihak lelaki semata-mata.

Beliau berkata cadangan itu akan dibincangkan dengan pihak berkaitan termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dan Jabatan Pendidikan negeri bagi mencari langkah pencegahan lebih berkesan.

“Berdasarkan siasatan, lebih 90 peratus kes kesalahan seksual dilaporkan di negeri ini berlaku secara suka sama suka. Dalam kebanyakan kes, hanya lelaki yang dituduh sedangkan kedua-duanya mengakui perbuatan itu berdasarkan siasatan.

“Kenapa hanya lelaki didakwa sedangkan ia dilakukan secara rela? Kita mahu perkara ini ditangani secara adil selain memberi kesedaran kepada remaja tentang keseriusan dan implikasi perbuatan mereka,” katanya.

Mohd Yusoff berkata kesalahan seksual di negeri itu meningkat berbanding tahun lepas, dengan kebanyakan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol atau Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.