SHAH ALAM, 21 SEPT: Sistem subsidi petrol RON95 menggunakan MyKad bermula hujung bulan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjamin hak warga tempatan.
Jurutera berkata menerusi alternatif itu, usaha pemberian subsisi bersasar itu dilihat berjaya sekali gus mengelakkan rakyat luar seperti Singapura merasai nikmat diberi kerajaan.
Bagaimanapun Bakhtiar Kasim, 43, berharap penggunaan sistem terbabit lancar dan memudahkan urusan pengguna membeli petrol.

“Mungkin di peringkat awal pelaksanaanya nanti akan kelam kabut sikitlah. Namun untuk jangka panjang, ia akan okay. Kerajaan pun dah ingatkan rakyat supaya menyemak cip MyKad masing-masing supaya urusan lancar.
“Kerajaan juga perlu pantau sistem ini supaya langkah susulan serta penambahbaikan boleh diambil segera. Kita cuba dahulu kerana sistem ini baik untuk rakyat,” katanya kepada Media Selangor.
Pekerja industri Gig, Mohd Faizal Abdul Hamsan, 36, pula berkata pelaksanaan sistem terbabit sememangnya membawa kebaikan namun aspek kelemahan perlu diteliti terutama terhadap MyKad.

“Bukan semua orang tahu cip MyKad mereka bermasalah kerana kita gunakan MyKad untuk urusan tertentu sahaja. Jadi Kerajaan perlu melihat aspek ini supaya tidak menyukarkan pengguna.
“Bagi saya, ada kebaikan dan kelemahan. Yang baiknya, warga luar memang tak boleh beli minyak pada harga murah.
“Kelamahan pula pada cip MyKad yang rosak. Kena pergi Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk buat baharu,” katanya.
Sementara itu, pekerja swasta, Farah Adani Fahmi, 32, berkata penggunaan MyKad itu perlu dilakukan ujian awal dan berperingkat supaya urusan pembelian di stesen minyak berjalan lancar.
“Kita risau kalau tidak diuji, sistem berdepan masalah. Ini akan beri kesan kepada pengguna dan menyusahkan. Hasrat kerajaan ini bagus tetapi perlu diteliti menyeluruh.
“Kerajaan juga perlu menerangkan cara penggunaan sistem ini lebih awal supaya pengguna bersedia,” katanya.

Hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup mengingatkan orang ramai supaya tidak bimbang sekiranya berdepan kesukaran membeli petrol bersubsidi sekiranya MyKad rosak.
Jelas Datuk Armizan Mohd Ali, pembelian bukan hanya bergantung kepada kad fizikal sahaja sebaliknya boleh memilih pelbagai mekanisme disediakan untuk mendapatkan subsidi itu.