ad

Manfaat Sepang sebagai pintu masuk negara, PBT digesa agresif promosi produk tempatan

20 Sep 2025, 8:31 AM
Manfaat Sepang sebagai pintu masuk negara, PBT digesa agresif promosi produk tempatan
Manfaat Sepang sebagai pintu masuk negara, PBT digesa agresif promosi produk tempatan
Manfaat Sepang sebagai pintu masuk negara, PBT digesa agresif promosi produk tempatan
Manfaat Sepang sebagai pintu masuk negara, PBT digesa agresif promosi produk tempatan

SEPANG, 20 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) digesa lebih agresif mempromosikan produk tempatan dengan memanfaatkan kedudukan strategik Sepang sebagai pintu masuk utama negara.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu penting bagi menggandakan nilai ekonomi setempat serta memastikan penganjuran acara pelancongan di daerah berkenaan bukan hanya berfungsi sebagai pesta hiburan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis perasmian Pesta Pantai Bagan Lalang@Sepang pada 20 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kita mahu acara dua hari ini menjadi pusat pendidikan penjagaan alam sekitar, memperkenalkan produk tempatan yang unik serta mengangkat jenama ‘Sepang at Large’,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Pesta Pantai Bagan Lalang edisi keenam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pesta dwitahunan anjuran MP Sepang yang bermula sejak 12 tahun lalu menyasarkan sekitar 20,000 pengunjung tahun ini, selaras dengan usaha menjadikan Sepang destinasi pelancongan berimpak tinggi.

Menurutnya, daerah itu memiliki potensi besar untuk dibangunkan dengan kelebihan kedudukannya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun proses pembangunan berdepan cabaran susulan kewujudan bom lama di beberapa kawasan perkampungan.

“Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan syarikat pemilik tanah berskala besar bagi mencari penyelesaian dan merangka pelan pembangunan mampan untuk Sepang,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melakukan gimik perasmian Pesta Pantai Bagan Lalang@Sepang pada 20 September 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin turut mencadangkan acara kebudayaan berasaskan tradisi tempatan seperti pertandingan wau kapal dijadikan sebahagian daripada agenda pelancongan negeri untuk memperkenalkan identiti Selangor kepada pelancong dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan menerima cadangan penganjuran program RXZ sejak tahun lalu dan akan menelitinya semula secara menyeluruh.

“Kita ada Litar Sepang dan Litar Rakyat di Kuala Selangor. Kedua-duanya saling melengkapi dan telah melahirkan beberapa jaguh permotoran. Justeru, industri ini akan diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor dan Rancangan Selangor ke-2,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.