ad

SABDA pacu ekonomi jingga luar bandar melalui seni, budaya dan kreativiti

21 Sep 2025, 7:00 AM
SABDA pacu ekonomi jingga luar bandar melalui seni, budaya dan kreativiti
SABDA pacu ekonomi jingga luar bandar melalui seni, budaya dan kreativiti
SABDA pacu ekonomi jingga luar bandar melalui seni, budaya dan kreativiti

SHAH ALAM, 19 SEPT: Rancangan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang diperkenalkan pada 2023 dijangka menjadi pemacu ekonomi jingga di wilayah utara Selangor, memberi peluang kepada belia dan penggiat seni tempatan memanfaatkan bakat kreatif mereka.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata SABDA menekankan pembangunan berasaskan agro-pelancongan, seni dan budaya membuka ruang kepada aktiviti kreatif seperti pembuatan kraftangan, rumah inap desa, wau tradisional, permainan gasing, persembahan silat dan kompang.

EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail di Bangunan SSAAS, Shah Alam pada 30 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“SABDA ini secara automatik akan menggerakkan ekonomi jingga kerana ia berteraskan kreativiti dan warisan tempatan. Ramai anak muda sudah mula bergerak, jual kraftangan, makanan dan rumah inap. Semua ini membuka peluang ekonomi kreatif yang berimpak tinggi,” katanya kepada Media Selangor.

Program itu dijangka menjana 3,600 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi melalui enam projek pembangunan di kawasan seluas 1,317 hektar, sambil mengekalkan kelestarian komuniti dan budaya tempatan.

Pasar terapung pertama di Selangor

Sebagai sebahagian usaha mempromosi ekonomi jingga, SABDA turut membangunkan pasar terapung pertama di Selangor berhampiran Pantai Bumi Hijau.

Pasar itu akan menampilkan makanan tradisi, kraftangan komuniti, serta pengalaman budaya dan alam semula jadi yang unik.

“Pasar terapung ini akan memberi pengalaman kreatif dan budaya berbeza kepada pelancong. Ia juga membuka peluang kepada usahawan tempatan memperluas pasaran mereka,” jelas Rizam.

Mengangkat tradisi sebagai daya tarikan kreatif

Sabak Bernam, daerah dengan 79 kampung tradisi, memanfaatkan seni budaya warisan Melayu Jawa, Bugis, dan Banjar sebagai elemen utama ekonomi kreatif.

Aktiviti seperti persembahan silat, kompang, pembuatan wau dan kraftangan tempatan bukan sahaja menarik pelancong, malah memberi peluang pendapatan berterusan kepada komuniti luar bandar.

“Potensi ekonomi jingga di luar bandar sangat tinggi. Rumah inap desa sudah penuh setiap hujung minggu, menunjukkan penerimaan masyarakat dan pelancong sangat baik,” tambah Rizam.

Batik terpanjang Selangor berukuran 40 meter dihasilkan ketika Program Karnival Wanita Desa Kampung Tradisi Rumpun Selangor 2025 di Dataran Tanah Lesen Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 16 September 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurut beliau, pembangunan ini turut memberi alternatif kepada generasi muda agar tidak berhijrah ke bandar, sebaliknya mengekalkan warisan, budaya dan kreativiti sambil memperoleh peluang ekonomi.

“Pertanian dan pelancongan digabungkan dengan seni serta budaya tempatan untuk membentuk ekosistem ekonomi jingga yang mampan dan berimpak tinggi,” katanya.

Selangor tekad bina ekosistem kreatif kukuh

Sebelum ini, ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen pada 6 Ogos lalu, Dato' Menteri Besar menekankan perlunya dasar ekonomi kreatif yang jelas, menyeluruh dan teratur bagi mengangkat industri ini ke tahap global.

Dato' Seri Amirudin Shari turut menekankan Malaysia wajar mencontohi Korea Selatan yang berjaya membina ekosistem kreatif kukuh sehingga muncul sebagai kuasa budaya dunia.

Sebagai langkah permulaan, Selangor menganjurkan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor pada 23 dan 24 September ini di Pusat Konvensyen MBSA, menampilkan kepelbagaian industri kreatif negeri daripada studio animasi bertaraf antarabangsa hingga bakat kulinari tempatan.

Ekspo dua hari itu bukan sahaja mempamerkan potensi Selangor, malah menjadi platform strategik untuk mengenal pasti keperluan termasuk latihan, geran dan insentif yang boleh dirangka Kerajaan Negeri bagi memperkukuh sokongan terhadap ekosistem kreatif.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.