HULU LANGAT, 21 SEPT: Sektor ekonomi jingga yang merangkumi seni, budaya dan kreativiti perlu dilindungi daripada ketidaktentuan politik agar pembangunan industri kreatif negara tidak terganggu, sekali gus memberi ruang kepada penggiat seni membina ekosistem mapan.
Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Faizal Musa berkata Malaysia memiliki ramai bakat besar dan kekuatan tersendiri dalam bidang seni, namun ekosistem tempatan masih memerlukan dasar lebih menyeluruh serta perhatian konsisten.

“Ekonomi jingga perlu diberi perlindungan berterusan. Jangan biarkan perubahan kerajaan menjejaskan penggiat seni yang sedang membina tapak kukuh.
“Contohnya, Hadiah Sastera Selangor (HSS) dan inisiatif Kerajaan Negeri seperti Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mesti dipelihara supaya ia dapat diteruskan tanpa gangguan,” katanya yang juga ketua juri HSS ketika ditemui Media Selangor di kediamannya di Alam Sari, Bangi baru-baru ini.
HSS yang diperkenalkan Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari pada 2015 ketika beliau EXCO Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan, diterbitkan melalui akhbar mingguan serta portal Selangorkini. Anugerah itu memasuki edisi ke-10 tahun ini, menjadi medium penting mengangkat karya penulis tanah air serta memberi pengisian rohani kepada masyarakat.

Sementara itu, IBDE yang ditubuhkan sejak 2016 pula merancakkan penterjemahan dan penerbitan karya penting dunia dalam bahasa Melayu, meliputi falsafah, sastera dan pelbagai bidang. Setakat ini, lebih 100 karya agung berjaya diterjemahkan bagi memperkukuh peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan peradaban.
Ekonomi kreatif global berkembang pesat
Ekonomi jingga kini diiktiraf sebagai antara sektor paling rancak berkembang di dunia. Laporan UNCTAD Creative Economy Outlook 2024 merekodkan nilai eksport barangan kreatif global mencecah US$713 bilion pada 2022, manakala eksport perkhidmatan kreatif melonjak kepada US$1.4 trilion.
Di Malaysia, sektor ini turut menunjukkan perkembangan positif apabila menyumbang sekitar 1.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2022, menurut Jabatan Perangkaan. Malah beberapa laporan menjangkakan sumbangan sudah hampir mencecah tiga peratus, menandakan industri kreatif kian menjadi pemacu baharu ekonomi negara.
Dalam konteks ini, Dr Mohd Faizal atau lebih dikenali dengan nama penanya Faisal Tehrani, menegaskan pengamal seni kreatif mikro juga perlu diberi perhatian serius.
“Pihak berkuasa wajar turun padang berdialog dengan penggiat seni bagi memahami cabaran sebenar yang mereka hadapi,” katanya.
Perlunya dasar jelas dan teratur
Amirudin ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen pada 6 Ogos lalu turut menegaskan perlunya kerajaan membangunkan dasar ekonomi kreatif yang jelas, menyeluruh dan teratur bagi mengangkat industri ini ke tahap global.
Menurut beliau, Malaysia wajar mencontohi Korea Selatan yang berjaya membina ekosistem kreatif kukuh sehingga muncul sebagai kuasa budaya dunia.
Seiring itu, Faisal mencadangkan penubuhan semula Kementerian Seni dan Budaya agar tidak lagi digabungkan di bawah Kementerian Pelancongan.
Langkah itu menurutnya, penting supaya sektor seni dan budaya diberi tumpuan khusus tanpa terpinggir.
Beliau juga menggesa lebih banyak ruang disediakan kepada graduan seni untuk berkarya, selain menyarankan produk buatan Malaysia dipaparkan dalam filem dan karya seni tempatan bagi menyokong ekonomi serta membina identiti budaya nasional.