ad

SAY tumpu perkasa ekonomi kreatif, bantu Selangor ukur potensi baharu

20 Sep 2025, 2:00 AM
SAY tumpu perkasa ekonomi kreatif, bantu Selangor ukur potensi baharu
SAY tumpu perkasa ekonomi kreatif, bantu Selangor ukur potensi baharu
SAY tumpu perkasa ekonomi kreatif, bantu Selangor ukur potensi baharu

SHAH ALAM, 20 SEPT: Selangor Youth Community (SAY), ditubuhkan pada 2017 di bawah naungan DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, kini memperluas fokus daripada pemerkasaan belia kepada pengukuhan ekonomi kreatif negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Aiman Syafiq Nazri berkata kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri menjadi landasan utama SAY untuk merapatkan jurang sedia ada dan mengangkat potensi besar sektor berkenaan.

Beliau menjelaskan meskipun industri kreatif sudah diiktiraf di peringkat Persekutuan, Selangor masih kekurangan data konkrit mengenai sumbangan sektor ini meliputi animasi, gastronomi, warisan, muzik dan lain-lain terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY) Aiman Syafiq Nazri. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Selangor belum benar-benar menilai kekuatan atau mengukur sumbangan sektor ini. Di situlah peranan kami, untuk menjadi jambatan yang merapatkan jurang tersebut,” katanya ketika ditemui Media Selangor baru-baru ini.

Libat urus SAY dengan penggiat industri kreatif

Menurut Aiman, SAY diberi mandat oleh Kerajaan Negeri untuk mendekati penggiat kreatif dan mengumpul maklum balas mengenai cabaran serta keperluan mereka melalui siri perbincangan kumpulan fokus.

“Peranan kami adalah bercakap terus dengan pengamal industri, daripada animasi hingga warisan dan budaya, bagi memahami apa yang mereka perlukan. Jika negeri mahu merangka dasar, suara lapangan dapat diangkat bersama,” jelasnya.

Beliau menambah, cabaran utama bukan ketiadaan bakat tetapi kelemahan struktur kewangan serta keyakinan pelabur.

“Golongan kreatif ini pakar dalam bidang masing-masing, tetapi urusan kewangan mereka kurang teratur. Itu sebab pelabur kurang yakin. Kami mahu membina kapasiti mereka supaya lebih diyakini bank dan pelabur,” katanya.

Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 jadi pemangkin

Aiman menjelaskan hala tuju lebih jelas dijangka diumumkan menerusi Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor pada 23 dan 24 September ini, yang bakal menampilkan kekuatan negeri termasuk studio animasi bertaraf antarabangsa dan bakat kulinari tempatan.

“Ekspo bukan sekadar mempamerkan apa yang Selangor ada, tetapi juga berkongsi langkah seterusnya. Antara keperluan dikenal pasti termasuk latihan, geran dan insentif. Negeri boleh gunakan input ini untuk memberi sokongan lebih menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, tumpuan terhadap ekonomi kreatif adalah langkah tepat kerana sektor itu berpotensi menjadi penyumbang utama pertumbuhan negeri.

“Dato' Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) melihat peluang sebenar untuk ekonomi kreatif menjadi antara penyumbang besar kepada KDNK Selangor. Peranan kami ialah memastikan komuniti bersedia menghadapi perubahan ini,” katanya.

Platform bakat belia pacu ekonomi kreatif

Bagi SAY, ekonomi kreatif bukan sekadar angka tetapi platform nyata untuk bakat muda berkembang, seiring usaha seni dan budaya yang lama dijalankan organisasi itu.

Antara bakat yang berjaya diketengahkan ialah kumpulan muzik bebas FUGO, yang mula diperkenalkan melalui pementasan akar umbi SAY dan kini tampil di pelbagai acara peringkat kebangsaan.

“Kami berharap platform ini memberi pendedahan lebih luas serta membuka peluang persembahan lebih besar,” kata Aiman.

Walaupun berperanan besar, beliau mengakui SAY hanya digerakkan pasukan kecil antara 12 hingga 15 orang, disokong pelatih industri, kakitangan separuh masa dan sukarelawan.

“Kami mahu memberi impak besar dengan sumber minimum. Ia bukan soal wujudkan program berasingan, tetapi melengkapi usaha pihak lain dan mengisi jurang,” katanya.

Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen pada 6 Ogos lalu, Amirudin menegaskan perlunya dasar ekonomi kreatif yang jelas, menyeluruh dan teratur bagi mengangkat industri itu ke tahap global.

Beliau turut menekankan bahawa Malaysia wajar mencontohi kejayaan Korea Selatan yang berjaya membina ekosistem kreatif kukuh sehingga muncul sebagai kuasa budaya dunia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.