ad

Majlis Media Malaysia pandang serius tindakan SKMM denda dua syarikat media

19 Sep 2025, 7:53 AM
Majlis Media Malaysia pandang serius tindakan SKMM denda dua syarikat media

SHAH ALAM, 19 SEPT: Majlis Media Malaysia (MMM) memandang serius tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan denda RM100,000 terhadap Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

MMM mengakui kepentingan ketepatan maklumat serta keperluan menghormati simbol negara, namun menegaskan jumlah denda tersebut keterlaluan dan tidak seimbang dengan kesalahan yang didakwa.

Menurut badan itu, hukuman berat berkenaan boleh mewujudkan suasana ketakutan dan penapisan sendiri dalam kalangan wartawan serta pengarang, sekali gus melemahkan fungsi media untuk memaklumkan masyarakat dan memantau pihak berkuasa.

Bagaimanapun, MMM tetap menghormati mandat SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, namun menegaskan pelaksanaan penguatkuasaan perlu dilakukan secara seimbang dan adil.

“Kesilapan tidak disengajakan, walaupun dikesali, wajar ditangani dengan langkah pembetulan yang berpatutan, bukan melalui hukuman berat yang boleh menjejaskan kelangsungan operasi bilik berita, menghalang laporan berkepentingan awam atau mengehadkan kepelbagaian suara dalam ekosistem media negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MMM menambah, perkara itu lebih mendesak ketika industri media sedang berdepan perubahan teknologi pesat dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai alat digital yang mengubah cara berita dikumpul, disahkan serta diedarkan.

Katanya, penalti melampau boleh menimbulkan ketidaktentuan dan menghalang organisasi media daripada bereksperimen atau berinovasi dengan teknologi baharu, sekali gus menjejaskan pembangunan landskap media yang dinamik.

Sehubungan itu, MMM menyeru SKMM, Kementerian Dalam Negeri, organisasi media serta Majlis sendiri mengadakan dialog konstruktif bagi membangunkan garis panduan lebih jelas dan rangka kerja telus serta kolaboratif dalam menangani isu seumpama ini.

“Matlamat bersama mestilah melindungi integriti kewartawanan dan hak orang ramai terhadap maklumat, sambil memberi ruang kepada media untuk berkembang, menyesuaikan diri dan berinovasi.

"MMM kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi menegakkan kewartawanan yang bertanggungjawab dan mempertahankan kebebasan media sebagai tonggak penting demokrasi Malaysia," katanya.

Sebelum ini, SKMM memaklumkan tindakan terhadap Sin Chew Media diambil selepas siasatan mendapati organisasi itu memuat naik ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap di akhbar digital miliknya.

Kompaun terhadap Sinar Karangkraf pula dikenakan berikutan siaran di Instagram yang memuat naik profil mengandungi maklumat tidak benar mengenai Ketua Polis Negara, melibatkan dakwaan terhadap jawatan kepimpinan tertinggi sebuah parti politik tempatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.