SHAH ALAM, 15 JUN: Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) yang berkuat kuasa semalam dijangka dapat melindungi pengamal media daripada sebarang tekanan selain memberi ruang pembelaan yang adil sekiranya berdepan sebarang isu.
Ahli lembaga pengarahnya berkata penubuhan itu membolehkan majlis membuat keputusan sendiri terutama melibatkan aspek disiplin sekali gus mengurangkan campur tangan politik dan kerajaan.
Menerusi MMM, Mohd Radzi Abdul Razak menjelaskan bahawa pengamal media yang berdepan aduan atau pertikaian berkaitan laporan berita akan dibantu dan diurus dengan sebaiknya.”
“Ini merupakan satu titik tolak yang cukup penting dalam sejarah landskap media negara. Selama ini pengamal media di Malaysia beroperasi dalam ruang yang longgar, kadang-kala terlalu dikongkong tanpa ada satu mekanisme pengawalseliaan kendiri yang benar-benar mewakili suara industri.
“Majlis berperanan menyediakan kod etika lebih jelas untuk dijadikan rujukan khususnya ketika ini kita memasuki era digital yang semakin kompleks. Menjadi platform rundingan antara media, kerajaan dan masyarakat bagi isu-isu berkaitan kebebasan bersuara dan tanggungjawab media.
“Pada masa sama, MMM juga membuka ruang pembangunan profesional secara berterusan termasuk menghadapi cabaran berita palsu, kecerdasan buatan (AI) dan ekosistem digital baharu,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Mohd Radzi pihaknya menjamin MMM benar-benar bebas, berwibawa dan tidak menjadi alat mana-mana pihak berkepentingan dan berpegang teguh kepada integriti, ketelusan serta keberanian dalam membuat apa-apa keputusan.
“Penubuhan ini bukanlah penyelesaian muktamad tetapi ia adalah satu asas penting ke arah pembinaan ekosistem media yang lebih bebas, bertanggungjawab dan diyakini masyarakat.
“Tugas kita selepas ini adalah untuk memastikan majlis ini berfungsi sebagaimana yang diharapkan oleh seluruh pengamal media dan rakyat,” katanya.
Sempena sambutan acara kemuncak Hari Wartawan Nasional 2025 semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan 12 individu dari pelbagai latar belakang menganggotai lembaga pengasas MMM.
Beliau berkata pemilihan anggota melibatkan empat kategori iaitu syarikat media, persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta ahli bukan media.


