ad

EXCO arah PBT segera selenggara kawasan, elak banjir kilat berulang

18 Sep 2025, 12:04 PM
EXCO arah PBT segera selenggara kawasan, elak banjir kilat berulang

SHAH ALAM, 18 SEPT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarahkan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan dilanda banjir kilat, kata EXCO pengurusan bencana.

Mohd Najwan Halimi berkata kerja selenggara perlu dilakukan segera bagi memastikan kejadian banjir kilat tidak berulang dan membebankan penduduk setempat.

“Daripada segi persiapan bencana, Kerajaan Negeri tidak ada sebarang masalah dan bersiap siaga sepenuhnya. Cuma untuk kejadian banjir kilat, saya minta PBT laksana kerja penyelengaraan di mana-mana kawasan dinaiki air.

“Masalahnya kawasan dinaiki air, bukannya hotspot banjir tetapi saya minta setiap PBT segera ambil tindakan, laksana kerja selenggara,” katanya pada sidang media Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Najwan memaklumkan semua pemimpin komuniti termasuk ketua kampung di sembilan daerah telah menjalani sesi latihan pengurusan bencana sebagai persiapan awal.

“Dengan adanya latihan ini, pemimpin masyarakat diberi latihan asas dan sekiranya berlaku sebarang bencana mereka boleh gerakkan bantuan awal,” katanya.

Sebelum ini, 43 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Kampung Sekolah Sungai Selisik dan Dewan Orang Ramai Ulu Bernam berikutan lima kampung terjejas ekoran banjir kilat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.