KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung latar sejarah, masa depan dan hala tuju kawasan Kampung Bharu.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara berkata titah baginda selari dengan pendirian Kerajaan MADANI yang teguh menekankan keperluan menghargai warisan sejarah serta merangka pembangunan yang adil dan seimbang.
“Kerajaan berpegang teguh bahawa setiap keputusan mesti berpaksi pada aspek kesejahteraan rakyat serta kelangsungan identiti masyarakat.
“Sebagai Pengerusi Majlis Perumahan Mampu Milik Negara, saya tetap beriltizam memastikan pembangunan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat tanpa mengorbankan maruah, hak dan sejarah yang merupakan kepentingan nasional,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor menitahkan agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Bharu dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Baginda bertitah tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman namun syarat-syaratnya harus jelas serta berpihak kepada orang Melayu.
- BERNAMA