SHAH ALAM, 18 SEPT: Kementerian Pendidikan tidak menolak kemungkinan melaksanakan sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) jika situasi banjir di Sabah bertambah buruk.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ketika ini sebanyak 38 sekolah termasuk satu institusi perguruan guru (IPG) terjejas akibat bencana yang melanda negeri itu sejak minggu lalu.
“Sekolah yang terjejas di Sabah setakat ini adalah 38 termasuk satu IPG. Bukan setakat banjir, malah terkesan akibat tanah runtuh. Ketika ini persiapan kita juga adalah pembersihan sekolah.
“Kita juga lihat pilihan lain jika cuaca tidak menentu, kemungkinan PdPR kita pertimbangkan untuk dilaksanakan bagi memastikan akses pendidikan dapat diteruskan, dan yang paling penting adalah aspek keselamatan,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Townhall Tribunal Antibuli peringkat Selangor yang diadakan di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.
Program dialog siri kedua itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan disertai hampir 100 pemegang taruh serta orang awam.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata kementerian telah mengeluarkan arahan pengosongan di IPG Kampus Gaya membabitkan beberapa blok bangunan dan kawasan kuarters.
Arahan itu, katanya, bagi memastikan keselamatan warga IPG susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini.
“Tindakan kita serta-merta di IPG Gaya adalah mengosongkan beberapa bahagian khususnya kuarters pekerja dan blok bangunan kerana kita bimbang tanah runtuh ini berlarutan dan memberi kesan,” katanya.
Bencana tanah runtuh di Sabah telah meragut 13 nyawa setakat ini.
Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan.