SHAH ALAM, 18 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan isu pembangunan semula tanah Kampung Bharu, Kuala Lumpur dikendalikan secara teliti dan berhemah, dengan mengutamakan kepentingan Melayu.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Baginda tiada halangan jika kawasan tersebut dibangunkan seiring peredaran zaman, namun syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
"Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira.
"Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan Melayu sejak 1900. Justeru, Beta ingin menegaskan sekali lagi ia memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.
"Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang," titah Baginda.
Dalam kenyataan susulan dikeluarkan Istana Alam Shah Klang hari ini, Baginda hanya menzahirkan pandangan mengenai sejarah, masa hadapan dan hala tuju yang merangkumi keseluruhan kawasan Kampong Bharu.
Baginda tidak menyentuh secara langsung isu pembangunan semula tanah di Kampong Bharu yang sedang tular, sebaliknya mengimbau penubuhannya pada 1899 yang diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk pertanian.
Baginda bertitah tanah tersebut dikurniakan nenda Baginda, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Penempatan Pertanian Melayu (M.A.S).
Menurut soalan lazim dikeluarkan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, isu Kampung Sungai Baru yang menjadi tumpuan baru-baru ini tidak mempunyai endorsan kawasan M.A.S dan merupakan pajakan 99 tahun.
Sultan Selangor turut mengimbas kenangan Baginda yang pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda Kampong Bharu, ketika ayahanda Baginda menjadi Raja Muda Selangor.
Menurut Baginda, Allahyarham ayahanda kepada Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin juga lahir di Kampong Bharu, tempat Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar.
Baginda bertitah Kampong Bharu juga menempatkan Kelab Sultan Sulaiman, tempat berlangsung Kongres Melayu SeMalaya pada 1946 yang mencetuskan penubuhan Umno.
Baginda bertitah padang tersebut turut menjadi tempat perlindungan Melayu semasa tragedi 13 Mei 1969 dan lokasi latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka.
"Kini, Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hak milik Kerajaan Selangor. Bukan itu sahaja, sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampong Bharu.
"Lebih nostalgik, persefahaman pernah dicapai supaya Masjid Jamek Kampong Bharu yang dirasmikan Sultan Selangor keenam Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain," titah Baginda.